Sunday, October 5, 2008

Susu ibu - melahirkan individu yang mengubah dunia!

Penyusuan bayi dengan susu ibu sering diperkatakan oleh pengamal-pengamal perubatan dan kesihatan bayi. Hakikatnya susu ibu sangat penting untuk perkembangan tubuh badan dan minda bayi. Dalam Islam, budaya menyusu dengan susu ibu sangat digalakkan, malah sehingga bayi berumur 2 tahun masih digalakkan menyusu dengan susu ibu. Dan begitu juga dengan konsep ibu susuan juga adalah galakan supaya menyusu bayi dengan susu badan ibu.

Apa khasiat menyusu dengan susu Ibu?

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.[Rujukan]

Susu ibu yang dijadikan Allah mempunyai pelbagai khasiat. Di sini diletakkan serba sedikit khasiat susu ibu, serta kelebihannya.

1. Penyusuan secara eksklusif bagi 6 bulan pertama hayat bayi adalah mencukupi untuk menyokong tumbesaran dan kesihatan bayi secara optimum. Susu ibu menyediakan perlindungan berterusan terhadap cirit-birit dan masalah pernafasan bayi.

2. Penyusuan badan juga membantu dari segi nutrisi, imunisasi, psikologi, dan ekonomi.

3. Susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula. Susu lembu mengandungi dua kali protein berbanding susu ibu. Oleh itu, bayi yang minum susu formula mendapat protein yang berlebihan. Najis bayi yang minum susu formula adalah lebih keras disebabkan mereka tidak mampu menyerap protein berlebihan tersebut. Bayi yang minum susu ibu pula menyerap 100% protein yang terdapat di dalam susu ibu. Najis bayi yang menyusu badan juga tidak berbau.

4. Ibu yang tidak menyusu badan mempunyai risiko kanser payudara dan rahim yang lebih tinggi berbanding ibu yang menyusu badan.

5. Penyusuan badan dapat membantu mengecutkan rahim. Rahim ibu yang tidak pernah menyusu badan tidak akan dapat kecut kembali seperti sebelum mengandung. Menyusu badan juga membantu ibu mendapatkan kembali bentuk badan seperti sebelum mengandung dengan lebih cepat. (Ini adalah pengalaman saya sendiri - berat badan saya berkurangan berbanding sebelum mengandung anak pertama!). Ini adalah kerana penyusuan badan memerlukan 500 kalori sehari.

6. Bayi perempuan yang minum susu formula mempunyai risiko kanser payudara yang lebih tinggi - erk, saya dulu minum formula. maknanya risiko saya untuk mendapat kanser payudara lebih tinggi! memang patut pun saya menyusu badan! ini yang menambahkan lagi semangat nak menyusu badan!

7. Susu ibu meningkatkan pertumbuhan otak dan IQ anak.

8. Susu ibu sentiasa tersedia untuk si anak, serta berada dalam ‘pakej’ yang lebih cantik - thehehehe

9. Susu ibu mengandungi imuniti terhadap pelbagai penyakit dan membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi. Bayi yang menyusu badan jarang sakit kerana si ibu akan memindahkan antibodinya kepada bayi melalui susu tersebut. - semasa anak pertama saya kena chicken pox, anak kedua saya tidak berjangkit walaupun si abang selalu berdekatan dengan si adik. ini adalah kerana saya telah pun mengalami chicken pox semasa kecil, dan saya telah transfer antibodi saya terhadap chicken pox kepada anak kedua saya. - Bayi yang menyusu badan juga terlindung (bukan sepenuhnya) dari penyakit pneumonia, bronkitis, ear infections dan macam-macam lagi.

10. Penyusuan badan dapat membantu menyokong keperluan emosi anak serta mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu.

11. Susu ibu mempunyai nutrisi lengkap untuk bayi. Susu ibu adalah custom-made mengikut keperluan bayi tersebut. Ianya mengandungi peratusan lemak, kabohidrat dan protein yang bersesuaian untuk peringkat umur bayi. Tiada susu formula yang dihasilkan mampu memberikan nutrisi yang betul-betul bersesuaian dengan keperluan tubuh bayi. Susu ibu juga sentiasa berada dalam suhu yang bersesuaian dengan keperluan bayi.

12. Susu ibu yang melahirkan anak pra-matang adalah khusus untuk bayi tersebut. Tidak ada susu formula yang dapat menghasilkan susu begini.

13. Susu formula meningkatkan risiko penyakit diabetes. Susu ibu pula dapat mengurangkan risiko diabetes Type 2.

14. Bayi yang menyusu badan membantu mengurangkan keperluan insulin ibu yang berpenyakit diabetes.

15. Bayi yang minum susu formula lebih mudah terdedah kepada pelbagai alahan - inilah yang terjadi kepada anak sulung saya :(

16. Susu ibu mengurangkan risiko athma.

17. Susu formula mungkin meningkatkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome)

18. Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat ‘childhood cancer’. Studi menunjukkan bayi yang minum susu ibu untuk sekurang-kurangnya sebulan mepunyai 21% peluang yang lebih rendah untuk mendapat leukimia, dan 30% untuk bayi yang menyusu badan selama 6 bulan.

19. Penyusuan badan melindungi bayi daripada beberapa masalah penglihatan.

20. Bayi yang minum susu formula lebih berisiko untuk obes - saya lah tu. Susu ibu pula mengurangkan risiko mendapat kolestrol tinggi.

21. Penyusuan badan = kurang EL atau MC untuk ibubapa. Memandangkan bayi yang menyusu badan jarang sakit, atau jika sakit pun cepat sembuh, maka ibu atau bapa tidak perlu ambil cuti lama untuk jaga anak.

22. Penyusuan badan sebagai kaedah merancang keluarga secara semulajadi. Kebanyakan wanita yang menyusu badan tidak datang haid selama 6 bulan selepas bersalin. Penyusuan waktu malam menggalakkan lagi tempoh ‘periodlessness’. Tetapi bukanlah bermakna ibu yang menyusu badan tidak boleh mengandung langsung selama tempoh penyusuan eksklusif. Semuanya takdir Allah - kalau sudah rezeki, Insyaallah boleh mengandung juga.

23. Penyusuan badan lebih mudah berbanding susu formula. Tidak perlu membancuh susu, hanya selak baju dan tawarkan susu kepada bayi. Tidak perlu berbelanja untuk susu formula. Kerana susu ibu adalah percuma! Ianya hadiah dan anugerah dari Allah untuk hambaNya.

24. Susu formula sangat mahal. Mungkin ada yang bertanya, pam juga mahal kan? Tetapi jika dilihat secara jangka panjang, pam yang dibeli adalah untuk tempoh selama 2 tahun. Katakan satu pam berharga lebih kurang RM500. Jika RM500 dibahagikan dengan 24 bulan = RM20.83! Cukupkah RM20.83 untuk stok susu formula selama sebulan?? Itu pun jika untuk satu anak sahaja. Bagaimana pula jika pam tersebut turut digunakan untuk anak kedua, ketiga dan seterusnya? Bukankah lebih murah?

25. Susu ibu bertindak sebagai ‘ubat penenang’ kepada bayi dan ibu. Bayi biasanya lebih tenang selepas minum susu ibu. Ibu juga merasa lebih tenang selepas menyusukan atau selepas mengepam. Ianya mengurangkan tekanan darah. Susu ibu juga dapat mengurangkan rasa sakit pada bayi. Jika bawa bayi anda untuk pengambilan vaksin, adalah elok untuk segera menyusukannya selepas dicucuk. Ini dapat mengurangkan rasa sakit bayi anda serta meningkatkan keberkesanan vaksin tersebut dalam tubuh bayi.

26. Susu ibu lebih sedap berbanding susu formula. Susu ibu rasanya lebih manis sedangkan susu formula rasanya lebih payau dan pekat. Betul! Saya sendiri pernah rasa susu saya (nak pastikan basi atau tidak) dan saya terkejut sebab susu saya rasanya manis. Sedangkan susu formula anak sulung saya baunya saja sudah meloyakan.

27. Susu ibu yang segar (fresh breast milk) tidak mengandungi bakteria, malahan susu ibu sendiri adalah anti-bakteria.

28. Penyusuan badan membantu pembentukan rahang dan gigi. Penyusuan adalah baik untuk pembentukan gigi dan rahang bayi kerana bayi perlu menggunakan 60 kali lebih tenaga semasa menyusu. Perlakuan ketika menghisap susu akan membantu pembentukan rahang yang sempurna dan gigi yang tersusun. Semakin lama tempoh penyusuan, semakin berkurangan masalah pergigian = kos berkaitan dengan masalah pergigian dapat dikurangkan/dielakkan. Juga membantu bayi untuk cepat bercakap.

29. Penyusuan badan melindungi ibu dari anemia kerana kebanyakan ibu menyusu tidak datang haid selama 6 bulan.

30. Bayi yang menyusu badan biasanya mempunyai kulit yang lebih cantik. [rujukan]


Bagimana penyusuan ibu boleh membentuk individu yang hebat dan mampu mengubah dunia?

Contoh ulung perkara ini adalah Rasulullah S.A.W. Bagaimana Allah menyediakan Nabi terulung ini dengan tubuh badan yang sihat, cergas, perkasa, kuat, bersemangat, akal yang cerdas, pintar, cerdik, bijaksana, hormon yang stabil (mampu mengawal emosi) dan sebagainya. Selain daripada tarbiyah dan didikan ruhiyyah dari Allah, persediaan fizikal juga diutamakan oleh Allah bermula dari ketika Nabi masih kecil.

Lihat bagaimana Nabi disusukan kali pertama oleh ibunya, Aminah. Kemudian Suwaibah menjadi ibu susuan pertama nabi. Kemudian barulah Halimatus Saadiah menyusukan Nabi. Tiga susu daripada tiga individu yang berbeza ini menguatkan potensi Rasulullah yang bakal menjadi pemimpin umat, Nabi Akhir zaman.

Daripada sedikit kelebihan penyusuan ibu di atas, kita dapat memahami, Nabi memiliki sekurang-kurangnya tiga jenis antibodi yang berbeza berpunca daripada tiga individu susuan yang berbeza. Hal ini memberi kelebihan imunisasi kepada tubuh fizikal Nabi dan perkembangan minda yang sangat hebat. Lihatlah betapa nabi sangat Fatanah. Sangat bijaksana dalam menangani sebarang isu yang timbul. Sangat pintar dalam membuat percaturan. Sangat alim dalam ilmu-ilmu yang diajar oleh Allah kepada baginda. Itulah kelebihan susu ibu kepada Nabi, selain daripada faktor-faktor tarbiyah yang lain.


Susuan ibu dalam Baytulmuslim, ke ke arah melahirkan individu hebat.

Adalah perlu kita sebagai hali gerakan dakwah Islamiyah, memahami konsep penyusuan ibu, bukan sahaja penting untuk tumbesaran fizikal dan mental bayi dengan sempurna, malah kita perlu berpandangan lebih jauh dari itu. Penyusuan ibu akan melahirkan individu yang cergas dan cerdas, seterusnya disusuli dengan tarbiyah yang baik dalam Baytulmuslim yang dibina, akan melahirkan pejuang yang hebat, pemikir yang agung dan pemimpin yang bijaksana. Individu seperti para sahabat Nabi S.A.W, para tabiin, individu seperti Umar Abdul Aziz, Muhammad al-fatih, Salahuddin el-Ayubi, Hassan al-Banna dan sebagainya sangat kita harapkan pada masa ini. Selain tarbiyah, para ahli juga sepatutnya memikirkan pembentukan generasi mata-rantai penyambung dakwah dan gerakan Islam pada masa depan.

Seeloknya seorang ibu dalam Baytulmuslim akan terus menyusu anak sehingga berumur dua tahun. Jika didapati penjanaan susu badannya tidak memuaskan, maka eloklah menyusu menggunakan ibu susuan. Konsep ibu susuan ini amat jarang dalam masyarakat kita, berbanding masyarakat Arab. Padahal, menyusu dengan banyak ibu susuan adalah sangat digalakkan demi melihat lahirnya seorang individu yang cergas dan cerdas bagi memimpin gerakan Islam masa depan.


Perihal Penyusuan dan anak susuan.

Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan

Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:

Maksudnya: "Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy."

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy)."

Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu."

‘Urwah berkata: "Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."

(Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu:

i. Perempuan yang menyusukan

ii. Suami ibu susuan

iii. Ibu bapa kepada ibu susuan

iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan

v. Adik beradik kepada ibu susuan

vi. Adik beradik kepada bapa susuan

vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan

viii. Anak-anak kepada ibu susuan

ix. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.

Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)

i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar

Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."

(Surah Al-Baqarah: 233)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."

(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."

(Hadis riwayat Tirmidzi)

ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya

Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.

Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.

iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur

Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.

Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.

Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5) [rujukan]


2 comments:

::ibnulislam:: said...

>>subhanAllah...mmg perkajian sains menyokong sunnah Rasul..menyokong firman2 Allah dalam alquran...contoh terbaik kehidupan Rasulullah s.a.w semasa bayi..hanya minum susu ibu..
>>sepatutnya pengkajian sains menjadikan kita lebih bertaqwa/beriman, tetapi kenapa masih ramai yang kufur?sesungguhnya telah jelas penerangan2 dari Allah s.w.t..
>>artikle ni sesuai diforwardkan kpd mereka yg sudah berkahwin agar faham kepentingan susu ibu..wassalam

Redcassie said...

assalammualaikum kepada saudara/saudari yang menulis blog ini, terdapat sedikit kesalahan dari segi bilangan ayat Al-Quran iaitu pada Surah Al Baqarah, sebenarnya penyusuan susu ibu diterangkan dalam ayat 233, bukan 223, minta dibetulkan, wallahualam