Wednesday, September 17, 2008

Baytul Muslim : Strategi Kemenangan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.,

‘Wanita ini dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya dan agamanya, maka hendaklah kamu memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya kamu akan bernasib baik.’

Kita telah berkali-kali diingatkan oleh ustaz tentang kepentingan memilih wanita/lelaki yang kukuh agamanya. Tidak salah kita mengambil kira ciri yang lain malah Islam meraikan perasaan manusia. Cuma bersandarkan ciri yang lain semata-mata atau terlampau lebih mengutamakannya merupakan tanda seorang itu lebih mengikut hawa nafsu dari maslahat yang lebih utama.

Di sini kita ingin jelaskan lagi apalah yang dimaksudkan dengan wanita yang mempunyai agama yang kukuh. Adakah bergantung kepada tinggi pengajian, nampak wara’ atau apa? Ya! Itu suatu yang tidak boleh dinafikan, tetapi kita juga diberitahu bahawa kemuliaan kita kerana kita memperjuangkan agama Allah. Rasanya ini sudah jelas, kalau tidak mengapa kita sendiri berada dalam jamaah? Jadi adakah munasabah kita merasa mulia kerana kita sebagai ahli jamaaah sedangkan pasangan yang dipilih bukan dari kalangan ahli jamaah.

Kita harap tidak ada yang berfikrah songsang baik muslimin dan muslimat dengan membuat penilaian yang salah terhadap pasangannya.

Kemudian dengan kriteria ini kita membuat pilihan. Adalah menjadi hak sesiapa untuk memilih, tetapi kita mesti ingat bukan hak kita untuk memaksa orang lain menerima pilihan/keputusan kita.

Islam sangat berhati-hati dalam menetapkan ketentuan-ketentuan untuk menjamin kebahagiaan isteri dan kemantapan keluarga, iaitu dengan memberikan hak kepada wanita untuk memberi keputusan apakah ia menerima atau menolak lamaran seorang lelaki. Tidak ada seorang pun yang dapat memaksanya berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya, kerana kehidupan suami isteri tidak mungkin dapat ditegakkan atas dasar paksaan dan tekanan.
Gambar Hiasan

JODOH; USAHA, TAWAKKAL DAN REDHA

Hukum beriman kepada Qadha’ dan Qadar Allah adalah wajib. Orang-orang yang tidak percaya kepada rukun Iman yang keenam itu adalah kafir.

Sebagai seorang mukmin, kita wajib sabar dan redha menerima segala ketentuan Ilahi, sekiranya hal ini ditimpakan kepada kita. Sebab di sebalik kesemuanya itu, mengandungi hikmah atau rahsia yang belum dapat diselami manusia.

Namun begitu, kita diharuskan atau diberi untuk berdaya usaha semampu kita, sedangkan akibat usaha (berhasil atau gagal) adalah ditentukan oleh Allah, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

‘Manusia berusaha, Allah yang menentukan.’

Beriman kepada Qadha’ dan Qadar dapat menghilangkan kekacauan pemikiran dan kesulitan yang dihadapi. Kerana orang yang percaya kepadanya, telah percaya sepenuhnya terhadap kekuasaan Allah untuk menentukan segala sesuatu di samping daya usahanya sendiri. Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Hurairah yang bermaksud,

‘Beriman kepada Qadha’ dan Qadar dapat menghilangkan kebimbangan dan kesusahan.’

Sesuatu musibah atau penderitaan yang menimpa kita, akan dirasakan ia seolah-olah tidak akan berakhir apabila semuanya itu kita perdalam dan kita bawa bersusah hati. Sebaliknya, apabila kita hadapi dengan tenang, tabah dan memperkukuhkan keimanan kita kepada Qadha’ dan Qadar. Selanjutnya kita akan memperolehi satu pelajaran dan petunjuk daripadaNya.


KONSEP BAITUL MUSLIM : Suatu Imbasan semula

Sesungguhnya kita diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Untuk itu, Allah menurunkan Rasul-rasulNya untuk mengajar manusia konsep dan kaedah pengabdian itu.

Maka kita menyusuri ajaran dan sejarah Baginda Rasulullah s.a.w. Di sana kita temui satu bentuk pengabdian yang cukup hebat, cukup memerlukan pengorbanan, cukup menguji ketabahan, sehingga amat sedikit yang meneruskan bentuk pengabdian tersebut di hari ini. Iaitu pengabdian dalam bentuk menginfakkan seluruh nikmat Allah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Maka kita pada hari ini merasa amat bersyukur kerana telah terpilih sebagai seorang daripada sekumpulan manusia yang menjadi pewaris perjuangan. Dalam satu jamaah yang hak dengan fikrah, wawasan dan idealisme seperti jamaah Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat.

Tetapi langkah kita di medan perjuangan baru beberapa tapak. Fathi Yakan pun merasakan bahawa beliau baru berada di pinggir medan perjuangan.

Masih banyak rintangan dan ujian yang akan menghalang dan menguji kita. Ianya bukan kebetulan tapi itulah tapisan-tapisan Allah untuk memastikan ketumbukan tenteranya yang akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam terdiri daripada tentera yang cukup berkelayakan dan lengkap prasyaratnya.

Maka kita pun menyerahkan diri kepada jamaah. Terpulangkah kepada jamaah untuk membentuk kita. Kerana kita wala’ dan thiqah kepada jamaah.

Kita jadikan kehidupan kita yang cukup singkat di kampus sebagai medan kursus intensif kita untuk menjadi pekerja Islam. Kita ingin dan harap dalam tempoh itu kita berjaya mencapai matlamat kursus. Supaya kita semuanya bergraduat bukan sekadar sekeping sijil bertulis bachelor dan sebagainya tetapi sijil pengiktirafan sebagai seorang jundullah.


Beberapa kefahaman BM

Baitun = rumah. Oleh itu, makna dari segi bahasa Baitul Muslim ialah rumahtangga muslim. Asasnya ialah pernikahan seorang lelaki muslim dengan seorang perempuan muslim yang cukup syarat dan rukunnya, maka terbentuklah sebuah Baitul Muslim.

Baitul Muslim dan fitrah

Dengan itu, Islam sebagai ad-deen fitrah mengambil kira fitrah dari peribadi manusia. Islam secara langsung menggalakkan seorang muslim itu berBM dan membawa penyelesaian kepada permasalahan sekitarnya.

Untuk menggalakkan pernikahan, Allah berfirman yang bermaksud,

‘Dan kahwinlah orang yang bersendirian (belum berkahwin) di antara kamu.’
(An-Nuur;ayat 23)

Ayat di atas menunjukkan suatu perintah ke atas orang yang belum pernah berkahwin untuk berkahwin.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

‘Nikah itu adalah sunnahku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnahku, nescaya telah membenciku.’

‘Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin, kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan keinginan (hawa nafsu).’

Dengan itu Islam meletakkan rumahtangga yang dibina berasaskan kepada ketaqwaan. Dan seorang muslim hendaklah memahami matlamat asas keluarga yang digariskan oleh Islam iaitu;

1. Untuk mendapat keredhaan Allah di samping meramaikan zuriat, menjaga maruah, memperdekatkan saudara yang jauh, mengharmonikan masyarakat dan menjadikan orang yang bertanggungjawab.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

‘Tiga orang lelaki yang pasti Allah akan memberikan perlindungan kepada mereka, orang yang berjihad ke jalan Allah, hamba yang muslim yang berhasrat untuk menebus dirinya, dan orang yang ingin berkahwin di atas hasrat untuk menghindarkan dirinya dari melakukan maksiat.’
(Riwayat At-Tarmizi dan Ibn Hibban dan Al-Hakim)

2. Untuk membentuk sebuah keluarga yang harmoni, berkasih sayang, tolong menolong di antara satu sama lain. Rumahtangga sebegini merupakan asas pembentukan sebuah masyarakat yang baik.
Firman Allah s.w.t. maksudnya,

‘Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal bagi mendapatkan ketenangan.’
(An-Nahl;ayat 80)

3. Menambahkan lagi kekuatan rohani, khusyuk dalam beribadat serta pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Menerusi perkahwinan dapat mententeramkan perasaan berahi yang membara dalam jiwa manusia. Begitu juga dapat mendamaikan kerunsingan-kerunsingan jiwa, kerana segala masalah hidup dapat dikongsi bersama dengan pasangan masing-masing. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya,

‘Dua rakaat sembahyang dari orang yang telah berumahtangga lebih baik daripada tujuh puluh sembahyang orang yang masih belum berumahtangga.’

4. Mengamalkan sunnah dan syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. serta dapat membina masyarakat manusia selaras dengan naluri semulajadi manusia. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

‘Orang yang tak menyukai sunnahku, bukanlah termasuk ummatku dan salah satu sunnahku ialah perkahwinan, siapa yang menyintaiku hendaklah melakukan sunnahku.’
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Namun bagi kita, pendokong gerakan Islam atau harakah Islamiyyah yang ingin meletakkan Islam pada singgahsananya harus menerima dan memahami BM lebih jauh lagi. Bukan sahaja untuk ganjaran pahala dan kebahagiaan sendiri. Tetapi sebagai satu perancangan dan strategi untuk mencapai kemenangan Islam.


Kita telah diajar bahawa perjuangan kita payah dan bukan sesuatu yang cepat dicapai seperti mana kita dijelaskan dengan firman Allah,

‘Sekiranya (perjuangan Islam itu) harta benda yang terdekat, perjalanan yang boleh ditentukan jarak jauhnya, nescaya mereka mengikut engkau. Tetapi (perjalanannya) jauh dan di atas mereka itu kepayahan.’
(Surah At-Taubah;ayat 42)

Sebagai satu contoh semasa Imam Khomeini dibuang beliau telah berkata,

‘Anak-anak yang berada dalam kandungan ibu-ibu mereka sekarang ini akan menjadi pemimpin perubahan....’

Kita melihat 20 tahun kemudian, Revolusi Iran yang telah menumbangkan kerajaan Syah Iran.

Alhamdulillah, kita terpilih sebagai seorang pejuang Islam. Walaupun masih baru dan masih sedikit sumbangan yang kita berikan. Namun, semua ini berlaku secara ‘kebetulan’ atau lebih tepat ‘semata-mata di atas taufiq dan hidayah Allah’. Kita tidak diprogramkan atau disediakan agenda tarbiyyah untuk jadi begini, malah ada ibu ayah kita yang tidak menyertai jamaah pun.

Inilah rahmat Allah. Kita berdoa agar lebih ramai lagi pejuang Islam lahir di tengah keluarga yang lara atau keluarga yang menentang Islam. Namun bagi kita yang memperolehi nikmat kefahaman dan kekuatan memberi sumbangan kepada jamaah, adakah cukup dengan harapan? Ingin melihat ‘kebetulan’ berlaku kepada generasi yang kita lahirkan? Cukuplah! Marilah kita menyemai iltizam untuk kita membentuk anak cucu kita sebagai GENERASI pewaris perjuangan dengan segala program tarbiyyah yang komprehensif.

Kesedaran untuk menghayati Islam amnya dan menegakkan Negara Islam khususnya bermula semenjak seseorang individu tersebut mula menjejakkan kaki ke universiti ataupun setelah meningkat dewasa. Adakah perkara ini tidak boleh dimulakan lebih awal lagi daripada itu? Dalam hal ini menjadi tanggungjawab ibu bapalah untuk mendidik anak-anak mereka memahami kedudukan perkara ini yang sebenarnya.

Baitul Muslim adalah kewajipan dan amanah

Setelah kita melihat dan memahami peranan Baitul Muslim dalam agenda perjuangan Islam, maka menjadi amanah dan tanggungjawab bagi kita untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Matlamat perjuangan adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini khususnya di Malaysia. Untuk mencapai matlamat khusus ini telah ditetapkan beberapa hieraki atau yang harus dicapai iaitu:

1. Fardhul Muslim - melahirkan ahli yang mempunyai syakhsiah muslim
sejati
2. Baitul Muslim - terbentuknya sebuah keluarga yang melaksanakan
syariat Islam sepenuhnya hasil dari gabungan fardhul
muslim tadi
3. Masyarakat Muslim - gabungan daripada keluarga muslim akan membentuk
masyarakat muslim
4. Negara Islam - ianya akan terbentuk dengan kesedaran dan
sokongan dan masyarakat. Kerajaan dari masyarakat
untuk masyarakat.

Dalam kaedah usul fiqh,

‘Tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan ianya menjadi wajib.’

Menegakkan kalimah Allah adalah sesuatu yang wajib. Oleh itu jalan-jalan yang menuju ke arahnya juga adalah wajib termasuk pembentukan Baitul Muslim.

Pertemuan di antara dua orang ahli jamaah (muslimin dan muslimat) bukanlah atas dasar percintaan semata-mata walaupun ianya adalah fitrah kejadian makhluk. Dasar kita adalah Islam dan perlaksanaan BM ini adalah untuk kepentingan Islam dan jamaah. Ianya tidak semata-mata untuk individu yang berkenaan sahaja. Seandainya cinta itu diletakkan di hadapan berkemungkinan kehendak-kehendak jamaah tidak dipenuhi keseluruhannya. Ini juga akan mempengaruhi generasi yang bakal dilahirkan.

Di dalam Baitul Muslim, sama ada anda menerima isteri/suami yang anda mesti rasa milik jamaah, dan kemudian diserahkan kepada anda dengan satu amanah. Sama ada anda menerima isteri/suami, anda mesti merasa satu amanah jamaah untuk anda bersamanya dalam susah senang perjuangan. Pembentukan Baitul Muslim itu sendiri, anda mesti merasa di atas restu jamaah yang tidak lain, kecuali amanah untuk anda layarkan ke medan perjuangan jihad dan dakwah, untuk mencapai matlamat khusus jamaah.

Maka, sehingga anda belum memenuhi hasrat jamaah itu, sebenarnya anda belum melaksanakan amanah. Ingat! Anda akan dipersoalkan nanti. Apatah lagi sekiranya anda seolah-olah menipu jamaah untuk melaksanakan BM sebagai amanah tapi sebenarnya memperalatkan jamaah untuk kepentingan sendiri.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud,

‘Katakanlah jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, pasangan-pasangan kamu, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.’
(Surah At-Taubah;ayat 24)

Baitul Muslim suatu unit kerja dan markas jamaah

Setelah panjang kita berbincang elok kita melihat pula apakah peranan yang paling minimum harus dimainkan oleh sebuah institusi Baitul Muslim yang dibentuk.

BM menghasilkan tenaga kerja dan kepakaran yang berkualiti sebagai penggerak jamaah iaitu suami isteri. Menyediakan pelapis pejuang yang berkualiti iaitu anak-anak. Infrastruktur rumah turut menjadi sebahagian aset kepada jamaah seperti menjadi bilik gerakan, rumah tumpangan ahli jamaah, stor dan lain-lain. Menjadi penyumbang dana kepada jamaah daripada sebahagian pendapatan. Menjadi role model agen tarbiyyah kepada ahli keluarga, jiran dan masyarakat setempat agar mereka menerima perjuangan kita.

Baitul Muslim memerlukan tarbiyyah dan menjadi tarbiyyah

Apabila kita meletakkan Baitul Muslim yang akan kita bentuk sebagai perancangan, kewajipan dan amanah untuk kemenangan Islam, maka Baitul Muslim yang akan kita bentuk hendaklah melalui satu proses yang memungkinkannya berperanan sedemikian rupa. Ia tidak mungkin wujud hanya dengan harapan. Tetapi ia mesti diusahakan dengan penuh kesungguhan, iaitu proses Baitul Muslim hendaklah dibina di atas program tarbiyyah. Reka bentuk dan binaannya berasaskan pelan tarbiyyah. Bukan dilakukan secara semberono atau pakai hentam sahaja.

Jamaah telah menyediakan kemudahan tarbiyyah ke arah ini. Tetapi ini sebenarnya berkisar dari segi kefahaman asas. Ahli hendaklah berusaha untuk melakukan segala persiapan tarbiyyah atas agenda yang besar itu. Malangnya tidak ramai yang melakukan demikian, malah usahkan untuk berusaha sendiri, yang diusahakan oleh jamaah pun diabaikan.

Seterusnya Baitul Muslim yang dibentuk atau segala proses berkaitan dan ke arahnya harus diterima oleh ahli sebagai modul-modul tarbiyyah yang penting. Tidak boleh ada ahli yang menganggap sesuatu yang berlaku tidak kena mengena dengan tarbiyyah. Sedangkan makan pun merupakan tarbiyyah. Begitu juga dengan tidur dan sebagainya. Misalnya dikatakan tidur orang berilmu lebih baik daripada ibadah sunat orang jahil. Inilah bezanya orang yang mengerti erti tarbiyyah dan orang yang melakukan sesuatu dengan perkiraan dunia semata-mata.

Setiap perkara sama ada baru permulaan, untuk memulakan dan lebih-lebih lagi bila ahli diikat dalam bentuk pertunangan tidak rasmi semuanya adalah modul tarbbiyyah. Tak suka atau duka. Semuanya tarbiyah. Kegembiraan akan membawa kita bersyukur dan sekaligus merasa kita betapa banyak kurniaan Allah kepada kita, sedangkan apakah balasan kita kepadanya. Pemikiran seumpama ini akan melahirkan semangat untuk kita meningkatkan kerja jihad dan dakwah.

Setiap modul yang dihadapi akan kita terima sebagai ujian. Adakah kita boleh bersabar? Adakah kita boleh menerima ketentuan Allah? Adakah kita masih merasa hebat dengan usaha kita? Semua ini mendatangkan keinsafan, betapa kita cuma seorang hamba. Mungkin kita lupa atau melakukan maksiat sehingga Allah mendatangkan ujian. Semua ini akan bawa kita balik untuk istighfar dan kembali meningkatkan amal jihad dan dakwah.

Semua yang berlaku, Insya Allah akan menambahkan kematangan kita. Akan membuatkan kita lebih memahami bukan setakat wanita/lelaki atau pasangan kita, malah mengenali kehidupan, fitrah dan kelemahan manusia.

Muslimin akan ditarbiyyah untuk menjadi peneraju kepimpinan. Muslimat ditarbiyyah menjadi sayap kiri. Modul kepimpinan dan kesetiaan silih berganti / dan setiap perkara memerlukan tolak ansur dan kefahaman yang semestinya ditarbiyyah berasaskan konsep syura.

Jadi kita harap muslimin atau muslimat, sama ada sudah diikat atau belum, cukup matang. Tidak gopoh. Kerana itu bukan ciri orang beriman, apatah lagi sebagai seorang yang menjadi anggota saff perjuangan.

‘Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja dengan) mengatakan, “Kami telah beriman” sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.’
(Surah Al-Ankabut;ayat 2-3)

GARIS PANDUAN MAJLIS WALIMAH

Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat peminangan, akad nikah, majlis walimah dan berbulan madu mestilah jauh dari segala adat lapuk, pusaka usang jahiliyyah yang rosak. Sama ada jahiliyyah lama atau baru yang bertentangan dengan syariat Allah s.w.t.

Risalah dan tugas kita dalam hidup ini adalah beribadah kepada Allah. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadah kepada Allah s.w.t. Kita jadikan segenap kehidupan seharian sebagai alat untuk kita menghampirkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah. A..... dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi merangkumi segala kegiatan hidup kita. Semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharapkan keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.

Oleh itu, putera puteri Islam mestilah memandang urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah s.w.t. Apapun diurus menurut hukum Allah s.w.t. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah s.w.t. Oleh kerana itu, kedua-dua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami isteri, rumahtangga, keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam untuk adab-adab itu.

KEHIDUPAN ASAS / RUTIN SUAMI ISTERI

Sebagaimana kita mengkehendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang Muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita mengkehendaki Baitul Muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat, sejahtera dan teliti.

Tolong-menolong ke arah kebaikan, menuju taqwa dan ke arah taat kepada Allah di dalam pergaulan mereka. Harga-menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya semuanya itu mesti diatur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

‘Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam, lalu dia bersembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk sembahyang, lalu dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan dia membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya.’
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawab terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka di segenap hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.

Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan, jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya ketika dia keluar dari rumahnya di waktu pagi,

‘Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan dan janganlah kekanda memberi kami makanan melainkan yang halal dan baik-baik sahaja.’

Kita ingin melihat di dalam Baitul Muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut benih Islam kerana dialah yang sentiasa berdampingan dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta daripada para isteri dengan pelbagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.

Kita ingin melihat di dalam Baitul Muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah s.w.t., berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan bertentangan dengan Islam.

Kita mengingini Baitul Muslim yang memelihara hubungan silaturrahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat Baitul Muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam terpahat kukuh di dalam diri mereka.

Kita ingin melihat dari Baitul Muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.

Kita mengkehendaki Baitul Muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di dalam segala urusan kehidupannya. Dengan fesyen pakaian Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi, di waktu suka dan duka, mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliyyah, adat-adat dan tradisi jahiliyyah yang diimport dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah, melakukan sebarang kecuaian dan kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang urusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin keluarganya tidak mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga sendiri.

Baitul Muslim yang sejati menurut tabiat dan logiknya mesti menjadi markas dakwah dan jihad Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh menjadi sahibud-dakwah, pendokong dakwah, menyeru keluarga dan sekitarnya kepada Allah s.w.t. dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang solehah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan mengubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.

Bidang dakwah sangat memerlukan muslimat yang menyeru manusia kepada Allah s.w.t. supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini kecuali yang telah mendapat taufiq Allah s.w.t. telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang solehah yang turut bersama kita untuk membaiki yang rosak dan membangunkan yang makruf, merobohkan yang mungkar, menghapuskan yang batil, menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.

Kita mengkehendaki Baitul Muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. Ia mengahpuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk dilalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung-menyambunglah daerah-daerah nur dan cahaya dan bercantum antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat keseluruhannya.


Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpinnya di bawah naungan Islam. Lantaran itu, kemuliaan mudah dikembangbiakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Barulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan yang bersih, yang mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al khilafah al Islamiyyah alamiyyah.


REALITI KEHIDUPAN SEORANG PENDOKONG PAS

Setelah kita melihat suasana yang kita impikan secara asas, marilah kta merujuk kepada perjuangan Pas yang akan kita dokongi.

Waqi’ kita sekarang memerlukan penglibatan aktif suami untuk berada khasnya di sayap kanan dan saff pemuda, dan isteri di sayap kiri di saff muslimat kerana masing-masing ada peranan yang tersendiri yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Maka di sina perlu ada keselarian, tolak ansur dan kerjasama untuk memungkinkan hasrat ini dicapai. Lebih-lebih lagi keduanya bekerja makan gaji dan setelah mempunyai anak yang ramai. Sudah lumrah isteri di rumah, dengan urusan rumah dan anak-anak manakala suami keluar. Tetapi suami perlu mengambil alih peranan ini di kala isteri perlu menghadiri program muslimat yang lebih penting.

Seringkali pula di program bersama sekeluarga berangkut. Dengan anak yang pelbagai paras umur termasuklah yang baru berusia beberapa bulan.

Ini cuma sebahagian pengorbanan. Sehingga ada sahabat dan sahabiah kita yang masa mereka dan anak-anak berada di dalam kereta dan di program jauh lebih lama daripada berada di rumah.


PENDIDIKAN ANAK

‘Setiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya (kejadian yang suci), maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Nasrani atau menjadikannya Majusi.’
(hadis)

Mendidik anak adalah agenda besar dalam Baitul Muslim yang telah banyak kita sebut di awal perbincangan. Kita tidak mahu melahir anak P kerana ibu bapa P yang melahirkannya, tetapi kita ingin mendidiknya dengan program tarbiyyah yang komprehensif.

Di antara bentuk tarbiyyah yang mudah ialah membawanya bersama ke program jamaah semenjak di dalam kandungan sehinggalah sepanjang usianya.

Mewujudkan suasana rumah sebagai markas mujahidin dan meluangkan masa untuk usrah keluarga. Amalkan semua ahli keluarga termasuk anak yang kecil bangun awal sebelum subuh untuk membiasakan mereka dengan qiamullail, contohnya pukul 5.00 pagi, seperti yang diamalkan oleh Tuan Guru Nik Aziz.


POLIGAMI

Firman Allah yang bermaksud,

‘Maka bolehlah kamu menikahi perempuan yang kamu pandang baik bagi kamu, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu khuatir tidak berlaku adil antara mereka itu, hendaklah kamu kahwini seorang shaja.’
(Surah An-Nisa’; ayat 3)

Marilah kita halusi ucapan Allahyarham Presiden P pada penangguhan Muktamar Agung Pas 1999 yang lepas,

Tadi kita mendengar wakil muslimat dalam perbahasan usul menyatakan. “Ibu-ibu tidak boleh berpisah dengan anak-anak tapi boleh berpisah dengan suami. Sebaliknya pula suami-suami boleh berpisah dengan isteri.” Sebab itulah Islam membenarkan mereka mempunyai lebih daripada seorang isteri.

Satu pandangan yang mesti kita jelas dalam fikrah kita sebagai pendokong Islam. Kita bukan sahaja mendokong harakah Islam tapi kita mendokong seluruh institusi hukum hakam Islam. Jangan ada di antara kita sama ada muslimin atau muslimat yang mempunyai pandangan tidak tepat terhadap setiap aspek daripada hukum Islam. Semua hukum Islam itu diturunkan oleh Allah, disyariatkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia. Permasalahan poligami juga adalah hukum yang disyariatkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia, bukan satu hukum yang menimbulkan masalah. Sama ada hati kita boleh menerima atau tidak boleh menerima, sama ada kita merasa berat atau tidak berat, tetapi kita mesti melihat bahawa hukum-hukum Allah adalah hukum-hukum yang disyariatkan yang membawa kesan positif kepada kehidupan manusia.

Dengan ini harapnya tidak ada ahli-ahli Pas, orang-orang Pas apatah lagi di taraf pemimpin yang mempunyai pemikiran yang songsang terhadap ketinggian, keunggulan hukum Allah s.w.t. Banyak huraian yang telah dibuat mengenai dengan hukum ini tapi manusia adalah manusia, mereka ada perasaan, sama ada boleh menerima dengan senang atau tidak boleh, tetapi itu bukan boleh dianggap syariat Allah sekiranya jika dilaksanakan boleh mencetuskan kesan dan menimbulkan masalah yang lain.

Tetapi ini sebenarnya dalam pemikiran kita yang harus kita jernihkan fikrah yang wadhihah bahawa syariat Allah itu adalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh manusia, sama ada permasalahan individu atau masyarakat ataupun negara. Pandangan ini mesti jelas dan mesti mempunyai fikrah yang wadhihah yang jelas yang nyata kerana kita mendokong perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah.

Jika ada lagi di antara kita baik muslimin atau muslimat yang mempunyai pandangan yang belum jelas, kita mesti perjelaskan institusi pendidikan kita ILHAM berperanan untuk memberikan perjelasan-perjelasan kepada semua aspek hukum yang terkandung dalam syariat Allah s.w.t.

Tetapi Islam juga meraikan perasaan-perasaan manusia sama ada mereka itu lelaki atau perempuan. Sebab itulah apabila Rasulullah s.a.w. mengetahui bahawa apabila Saiyidina Ali k.w. bercadang untuk berkahwin dengan anak perempuan Abu Jahal, puterinya Fatimah memberitahu Rasulullah s.a.w. bahawa Fatimah tidak merasa senang untuk dimadukan dengan anak Abu Jahal. Maka Rasulullah s.a.w. naik ke mimbar dan berucap. Dalam ucapan itu menyebut tidak boleh berhimpun antara puteri Rasulullah dengan anak musuh Alah. Dan apabila Ali mendengar ucapan itu, Ali membatalkan hasratnya untuk berkahwin dengan anak perempuan Abu Jahal walaupun dia muslim.

Jadi seorang nabi, seorang Rasul yang dipilih untuk menjadi pemimpin ummah yang universal mendalami, memahami perasaan bukan sahaja soal agihan pendapatan, kekayaan tetapi juga memahami perasaan setiap orang yang berhadapan dengannya walaupun konsep pemahaman, pemikiran tentang hukum adalah jelas.

Penutup

Untuk itu, putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang mithali yang menjadi model Islam sejati untuk menjadi contoh teladan kepada GENERASI baru. Ini adalah satu langkah yang penting dan asas di jalan dakwah. Mohonlah pertolongan daripada Allah s.w.t. supaya dipermudahkan dan jangan menyusahkan.


“Cinta suci tumbuh atas tapak yang murni dan didorong oleh faktor agama, akhlak, kewibawaan dan keperibadian yang baik. Dorongan dan rangsangan yang menyuburkan cinta ini tidak memerlukan kata-kata luahan yang indah. Namun, peribadi yang mulia sudah cukup membuktikan betapa dalamnya cinta ini. Kebiasaannya, cinta suci seperti ini pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan, untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan. Bahkan jika diizinkan Allah, ia akan bersambung di akhirat.

“ Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta di akhirat.”
(tanpa mengenepikan hak-hak jambatan akhirat)


Siiru ‘Ala Barakaltillah...
Daripada :
AJK NBM Sessi G19, 2008

No comments: