Thursday, September 18, 2008

Fahami Baytul Muslim : Memilih

Dr Mohd Daud Abidin

Secara amnya, Unit Baytul Muslim (UBM) diwujudkan untuk membantu menyelamatkan ahli-ahli jemaah gerakan Islam daripada gejala Futur (keciciran dari jalan dakwah) terutama setelah berumah tangga. Gejala futur dikesan salah satu puncanya adalah disebabkan pernikahan.

Futur melalui pernikahan ini kerap berlaku dalam kalangan ahli jemaah Muslimat. UBM diwujudkan untuk menyelamatkan Muslimat daripada Futur selepas berumahtangga, manakala Muslimin demikian juga walaupun peratusan futur melalui pernikahan ini tidak sebesar Muslimat.

Kenapa Muslimat selalu tercicir?

Secara amnya, apabila seseorang Muslimah, ahli jemaah kampus akan mula memikirkan masa depan rumah tangganya apabila menduduki tahun kedua dan ketiga pengajian. Malah mungkin juga lebih awal dari itu. Muslimat akan bimbang secara serius atau pun tidak mengenai masa depannya nanti, yakni bagaimanakah rupanya bakal suaminya nanti.

Jika dalam tempoh waktu ini, muncul jejaka yang mahu meminang, pasti mereka tidak akan menolak. Malah adalah menjadi kekhuatiran jika mereka menolak pinangan lelaki lebih dari dua kali. Jadi mereka akan menerima juga pinangan jejaka tersebut.

Alhamdulillah, jika jejaka tersebut faham akan selok-belok jamaah gerakan Islam. Faham tugas amal jamaei dan amal ijtima'ei. Maka secara tidak langsung tujuan Baytul Muslim itu tercapai walaupun tidak melalui UBM. Adalah malang sekali jika jejaka yang masuk meminangnya bukan dari kalangan orang yang memahami gerakan Islam dan jamaah, sekalipun dia kelihatan warak, baik, penyantun dan sebagainya. Perlu diingat, isteri wajib taat kepada suaminya. Cuba fikirkan jika suaminya itu Tabligh, maka gerak kerja jemaah yang difahami di kampus tidak dapat diteruskan dan akan berlakulah keciciran.

Melihat kepada kemungkinan begitu, UBM diwujudkan bagi menyelamatkan Muslimat jemaah Kampus daripada 'disambar' oleh orang yang tidak berkenaan. Jadi menjadi pula tugas Muslimin jemaah kampus untuk menjadi penyelamat dengan menikahi Muslimat sesama ahli Jemaah, melalui perantaraan UBM.

Tanggungjawab Muslimin juga diperlukan untuk memastikan UBM berfungsi. Jika Muslimin sendiri tidak memilih pasangan dalam kalangan Muslimat, maka si Muslimah sendiri akan terus dirundung kegelisahan, siapakah bakal suaminya. Ibu bapa Muslimah tersebut pasti akan menikahkan anak mereka dengan sesiapa yang mereka berkenan apabila si anak tiada yang mahu meminangnya. Akhirnya sumber tenaga aktivis gerakan Islam akan keciciran lagi ahli dalam kalangan Muslimat.

Penting sekali kita yang faham tentang perlunya kesinambungan gerakan dakwah, amal jamaei ini mewujudkan seberapa banyak Baytul Muslim agar generasi baru gerakan Islam lebih kukuh di masa depan. Lihat sahaja di Palestin. Terdapat ramai ahli gerakan Islamnya yang Muslimin akan berpoligami, menikahi 2, 3 atau 4 orang Muslimat, bertujuan menyelamatkan wanita, dan pada masa yang sama meramaikan zuriat yang bakal mewarisi perjuangan menentang kezaliman Israel.

Oleh itu sewajarnya jemaah setiap kampus mendedahkan kepentingan Baytul Muslim kepada setiap ahli baru. Janganlah fikir ia terlalu awal, bahkan pendedahan awal ini dapat menyelamatkan Muslimat daripada tercicir kemudian hari.

Menikahi pasangan yang sama umur, atau lebih tua?

Sebenarnya tiada halangan untuk menikahi pasangan yang lebih muda, sama umur atau lebih tua. Rasulullah sendiri menikah dengan Siti Khadijah yang 15 tahun lebih tua daripada banginda.

Dalam alam kampus, selalunya Muslimin akan memilih Muslimat yang sama umur, ataupun yang lebih muda darinya. Itu kebiasaan. Tetapi ada juga sebaliknya. Terpulang. Dari segi pendapat saya sendiri, adalah elok jika Muslimin menikahi Muslimah yang lebih muda 1-5 tahun darinya. Kerana apa?

Dari segi santifiknya, kesuburan wanita akan bertahan sehingga mereka berumur 34-36 tahun. Sesudah itu ovum yang dihasilkan tidak sebaik kualitinya seperti ketika umur lebih muda. Jadi untuk melahirkan zuriat yang berkualiti kesihatan dan kecerdasannya, eloklah faktor ini diambil kira. Sekiranya Muslimin memilih untuk menikah dengan Muslimah yang sama umur, atau lebih tua, maka perkahwinan awal digalakkan.

Malah, Muslimin yang sudah tamat pengajian masih boleh ber-UBM dengan Muslimat yang masih belajar di kampus. Tidak semestinya apabila Muslimin sudah tamat pengajian, dia terputus dari urusan UBM. Sebab itulah saya anggap Muslimin seharusnya mencari Muslimat yang lebih muda. Biar Mslimat yang sama umur dinikahi oleh senior-senior yang lebih tua. Sekadar pandangan. Jodoh siapa tahu.

Manakala Muslimat pula boleh memilih Muslimin yang lebih tua darinya. Tidak salah jika berkenan dengan Muslimin yang sama umur. Tetapi Muslimin yang sama umur masih boleh membuat pilihan lain pada tahun pengajian berikutnya setelah kemasukan ahli baru, sedangkan Muslimat 'sukar' untuk menerima lelaki yang lebih muda, yakni juniornya.

Bagaimana jua pernikahan itu berlaku, perkara utama yang mesti difahami, pernikahan sesama ahli jemaah bukan atas dasar nafsu atau keseronokan semata-mata. Baytul Muslim adalah untuk memastikan perjalanan membentuk daulah Islamiyyah itu lancar. Bukankah Baytul Muslim itu adalah unit-unit yang membentuk komuniti Muslim dan seterusnya membina sebuah negara Islam - Khilafah Islam.

Masalah yang timbul adalah masing-masing terlalu memilih. Bagi Muslimin, kebanyakannya memilih Muslimat yang memiliki rupa paras, dan sifat fizikal yang menarik. Manakala Muslimat pula memilih Muslimin yang kelihatan seperti 'ustaz', ataupun yang pandai ilmu agama. Perlu kita ingat, setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Terimalah seadanya dan letakkanlah diri kita sebagai pelengkap kepada kekurangannya dan dia pula pelengkap kepada kekurangan kita. jangan terlalu memilih. paling penting, pasangan yang ingin kita nikahi itu cantik akhlaknya, memahami ilmu harakah dan dakwah, mempunyai fikrah yang sama dengan kita, iaitu Islam, dan seumpamanya. Faktor agama adalah paling penting seperti yang Nabi sebutkan kepada kita.


Satu perkara yang perlu difahami sebagai suami-isteri:

Tahukah Muslimat sekalian bahawa wanita itu hanya wajib menjadi isteri. Tanggungjawab masak dan jaga anak itu bukan tanggungjawab hakiki seorang isteri. Terkejut? Memang benar. Tanggungjawab utama seorang isteri hanyalah melayan suaminya. Isteri itu ratu dalam rumah tangga. Isteri bukan orang gaji ataupun pembantu rumah ataupun pengasuh.


Namun, atas dasar ihsan dan kerjasama dan untuk berjimat cermat seperti yang digalakkan oleh Islam, isteri boleh membantu suaminya. Apabila dia ikhlas membantu suami dan keluarganya, ada ganjaran yang disediakan Allah SWT. Itulah cara timbal balik yang diajar dalam islam. Tetapi mereka yang tidak memahami akan mengatakan memasak, membasuh, menjaga anak dan segala yang berkaitan dengan rumah ialah tanggungjawab isteri. Selepas itu, apabila isteri sudah terlalu letih, dia tidak dapat menjalankan tanggungjawab hakikinya iaitu menjadi isteri, suami akan kecewa. Itu satu kesilapan umat Islam hari ini.




No comments: