Tuesday, August 25, 2009

Surat untuk bakal zaujahku....

Bismillahirrahmanir rahim...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam sejahtera buat calon zaujahku yang dihijab pertemuan olehNya sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi qabul berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.

"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redhaMu"

Kukira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah binti Hasan bin
Zaid bin Hasan bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu
dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku, bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah kupohon dalam setiap doaku padaNya, dalam setiap sujudku, dalam setiap ibadah hajat dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita. Hijab itu membolehkan aku dan kau melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar baitul muslim kita nanti tidak suram dengan Nur keimanan yang malap.

Calon zaujahku yang dirahmati,

"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."

Bukan harta yang kuperlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang kuidamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam mengESAkan Allah Yang Satu.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal." (Al-Hujarat: 13)

Sirah telah membuktikan bahawa seorang Khalifah mulia menjodohkan puteranya dengan seorang gadis penjual susu lantaran iman yang kuat menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah. Akhlak indah yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati Khalifah terpaut. Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu wahai calon zaujahku. Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.

Jika asas baitul muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan taqwa dan berperisaikan iman. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup berbumbungkan sunnah berpelitakan al-Quran, berdindingkan wasatiah dan qanaah. Itulah hakikat sebuah baitul muslim.

Calon zaujahku yang telah dijanjikanNya ,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An- Nissa':34)

Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam surah khusus buatmu. Dan itulah janji-janji Allah bahawa seorang wanita yang solehah itulah mutiara syurga buat suaminya walaupun kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.

Maafkan aku kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang zaman. Itulah panduanNya, Qalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar dirimu mengenal Allah, zat yang agung. Itulah kunci kesempurnaan yang hakiki.

Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal isteriku, kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang Allah janjikan syurga demi setitis darah mereka.

Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.Hati serapuh kaca,kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera,hiasilah dengan akhlak. Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi khemah dakwah dan tarbiyyah.

Bakal isteriku yang dirahmati,

Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku padamu tidak pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saf antara aku dan dirimu akan bersama-sama melalui siratulmustaqim yang lurus menuju jannahNya yang dirindui. InsyaAllah. Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini adalah pengakhiran sebuah destinasi.. Dunia sudah terlalu tua, ia hanya menanti masa.

Salam buat teman solehahku...

Yang Benar,
bakal suamimu.

Tuesday, August 18, 2009

Celoteh cinta: awasi rupa bentuknya

Pantun orang Melayu zaman dahulu:

Nasi lemak buah bidara
daun selasih saya lurutkan
buang emak buang saudarak
erana kasih saya turutkan

Kalau roboh kota Melaka
papan di Jawa saya sorongkan
kalau sungguh bagai dikata
jiwa dan raga saya serahkan

Orang muda kita pula berkata:

‘cinta itu buta’
‘cinta tak boleh dijual beli’
‘cinta medic’
‘sms On Cinta’
‘engkau bagai air yang jernih di dalam bekas yang berdebu’
‘dua hati jadi satu bila kita bertemu’
‘bulan madu di awan biru tiada yang mengganggu’
‘aku memang pencinta wanita tapi ku bukan buaya’

gila-gila cinta
harganya mahal
nak beli tidak daya
tapi ia datang percuma
dengan sepenuh jiwa dan raga
meredah, melanggar sesiapa sahaja yang menghalangnya
kerana ia tidak bermata
emak sendiri pun sanggup dibuang demi kesetiaan pada si dia
mata sepet tidak mengapa
hidung kembang alangkah lawanya
sudah bersatu dunia kitasusah senang kita berdua
dunia akhirat kita bersama

wah …. wah …. wah

Datang zaman kebangkitan Islam. Arus dakwah terkena kepada sesiapa sahaja samada orang ini memang nak berdakwah atau orang ini adalah sasaran dakwah. Berubah nilai dan neraca. Yang dahulunya jahiliah bertukar jadi Islamik dengan sedikit ‘dakwahisasi’. Orang muda sekarang cerdik sungguh…. Pandai ‘adjust-adjust’. Pandai ‘modify’. Mereka ni mungkin tak pernah lagi berjaya mengislamkan orang bukan Islam,tapi mengislamkan unsur-unsur jahiliah ni cekap bukan main. Bukankah Adam dulu juga bercinta dengan Hawa? Bukankah Nabi Sulaiman juga bercinta dengan Ratu Balqis? Bukankah qudwah cinta sejati itu pada Ali dan Fatimah? Ni semua akibat baca silibus usrah tak betullah ni.

Lalu da’ie zaman moden pun bercintalah juga. Tapi mereka bercinta tidak sama macam orang lain tahu. Sempadannya batasan syarak. Main-main perasaan sahaja, tidak lebih dari itu. Takut Allah murka, tak berkat dakwah nanti.

kau tahu ku mencintaimuku tahu kau mencintaiku ooohhhh kasih bersabarlah sayang saat indah kan menjelma jua

tapi …….

‘sebelum diijabkabulkan syariat tetap membataskan’

Temu janji bukan di panggung wayang. Bukan kat Dataran Merdeka. Bukan kat Hard Rock Cafe. Ni da’ie ni ….. Tempat-tempat lagho macam tu tak mainlah ….

alangkah riangnya hatikuluahan rasaku mendapat perhatianku terima balasan darimukau jua menyimpan perasaan warkahmu memberi kepastianagar kejayaan menentu pertemuansetiap kali di akhir katamukau selalu tulisSEE YOU DI ICV …eeh silap IPT (sorry orang Victoria)

Mereka ada fikrah Islamiah …. fikrah asolah lagi. Sebab tu bila bercinta mereka ni setia dan sanggup berkorban segala-galanya. Maklumlah … cinta mereka ni lahir dari tasawwur yang jelas dan fikrah Islamiah yang tulen.

cinta itu cahaya sanubarikurniaan Tuhan fitrah insanidan di mana terciptanya cintadi situ rindu bermula cinta itu tidak pernah memintatetapi memberi sepenuh relarasa bahagia biar pun sengsara berkorban segala-gala

Samar …. Buka Lampu Sikit

Sikit membebel ni bukan kerana apa. Kerana sayang dan harapan yang kami berikan kepada pendakwah-pendakwah muda. Harap-harap jangan tertipu dengan perkara-perkara seumpama ini.

Cinta sememangnya fitrah manusia. Jalan terbaik untuk menyalurkan fitrah adalah pada perkahwinan. Penegasan diberikan oleh Rasulullah s.a.w.: “Tetapi aku berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku, dia bukan dari kalangan umatku.”

Jaga pandangan mata. Jaga pergaulan. Kita ada batas pergaulan kita sendiri.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua mata juga berzina dan zina mata adalah pandangan.” Sabdanya lagi: “Tidak halal bagi seseorang bersunyi-sunyian dengan seseorang yang bukan muhrim.”

Itu semua adalah perisai untuk tidak terjebak ke dalam isu-isu cinta yang tidak syar’ie. Jangan suka sangat chating dengan orang yang kita sendiri pun sebenarnya tak tahu mana datangnya. Buang masa satu hal. Letih melayan perasaan satu hal lagi. Letih nak ‘mengayat’ satu hal lagi.
Jangan juga ambil kesempatan untuk buat ‘marketing’ dalam aktiviti-aktiviti bersama lelaki perempuan. Kalau aktiviti sesama lelaki, pakai kain pelekat dengan t-shirt pun tak pe. Busuk sikit, tu bukti kita kuat buat dakwah sampai tak sempat nak mandi. Kalau aktiviti bersama, siap mandi dan sental seluruh badan. Seterika baju, pilih baju, pakai stokin, kiwi kasut, pakai gel rambut dan pastikan ‘gaya thiqah’.

Dr. Yusof al-Qardhawi berkata: “Cinta akan mencari manusia. Tetapi manusia jangan mencari cinta.”
Jangan ikut sangatlah kawan-kawan kita yang letak kesempurnaan seorang lelaki dan wanita adalah pada ‘bercouple-couple’.
Jangan letak target untuk mencintai seseorang. Tapi kalau tiba-tiba jatuh hati kat seseorang, bagitahulah abang-abang dan kakak-kakak kita. Cuba ‘story’ sikit perasaan kita tu baik-baik. Kalau masih belum berpunya, apa salahnya, kami boleh tolong pinangkan. Itu kalau sekufu’lah. Kan ke kita faham maksud sekufu’ tu? Maksudnya kita cari orang-orang yang sama-sama nakkan cara hidup Islam, bina keluarga Islam dan menyumbang pada umat.

Kalau ada ‘awek’ lama atau ‘balak’ lama (pinjam istilah orang muda), ingat balik matlamat hidup kita. Nafsu tu sekejap je boleh dipuaskan. Tapi keharmoniaan dan kebahagiaan bukan senang nak cari. Jangan merungut kalau nanti susah nak ikut aktiviti dakwah dan sumbangan juga jadi terbatas. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sedih putus cinta dengan awek lama tu sekejap je boleh hilang. Menanggung derita hidup bersama awek lama yang dah jadi isteri tu bukan senang.

Kalau emak ayah dah carikan, ukur dan nilai balik calon tu berdasarkan neraca Islam yang kita faham. Kalau kena neraca tu, tawakkal alaAllah. Kalau tak kena, sembang baik-baik dengan emak ayah. Mereka boleh faham tu. Jangan risaulah. Tak da istilah ‘saya terperangkap oleh perancangan emak dan ayah saya’. Emak ayah kita tak buat konspirasi macam tu. Ada la kot sikit-sikit kes terpencil macam tu, tapi dalam banyak kes sebenarnya boleh bincang lagi. Takut kita je sebenarnya yang ‘terpesona’ dengan calon emak ayah kita lalu kita pun ‘terperangkap’. Lalu yang mekap tebal seinci, skirt pendek, suka duduk depan tv, tak suka dengar Ikim.FM dan yang seumpamanya kita setuju untuk hidup bersama kita selama-lamanya … mengharungi alam dakwah bersama-sama … dunia akhirat bersama. Macam pelik je bunyinya tu.

Kalau dah ada calon, dah setuju pada peringkat keluarga dan dah bertunanglah dengan istilah mudahnya, jaga batas-batas perhubungan. E-mail, sms, chat dan lain-lain teknologi hari ini jangan disalahguna. Ada masa boleh, ada masa tidak boleh. Ikut keperluan dan jaga batas-batasnya.

Memanglah pendakwah muda ni kalau tulis email dan berchating, dia tak tulis macam orang lain. Jiwang-jiwang tak mainlah. Mereka ni baca kitab Muntalaq. Kami adalah anak-anak singa dan bukannya kijang yang jinak. Amboiii. Tapi kadang tu kita tak perasan, jiwang tidak datang dalam satu bentuk sahaja. Jahiliah berubah bentuk. Maka begitulah juga dengan jiwang. Dulu ‘I love you’. Sekarang ‘bersamalah kita memburu cinta Allah’. Dulu ‘demimu sayang lautan sanggup ku redah’. Sekarang ‘moga-moga kita dapat bersama-sama thabat mengharungi dakwah ini’.

Ini adalah sikit nasihat. Harapnya tidak ada yang berasa hati. Moga kita dapat menjaga diri kita lebih dari kita menjaga diri orang lain.