Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts

Wednesday, December 9, 2009

Tamrin Baytulmuslim untuk Muslimin dan Muslimat ( Bhg 1)

Assalamualaikum....

Posting kali ini akan lebih difokus kepada muslimat. Beberapa 'suara' mencadangkan supaya ana menulis mengenai muslimat, fokus khas ke arah membina baytulmuslimin. Pada mulanya ana agak blank, tetapi selepas bersembang dgn sepupu ana dan juga isterinya, ana dapat sedikit idea untuk berkongsi di sini. Segala kekurangan, ana mohon maaf dan harap diperbetulkan.

1) Perlunya satu fokus muslimat ke arah pembentukan Baytulmuslim


Fokus yang dimaksudkan adalah ke arah bagaimana menyediakan muslimat sebagai tonggak penting dalam sesebuah baytulmuslim. Setiap jemaah kampus seharusnya merancang aktiviti atau modul, atau tamrin atau bengkel khusus untuk tujuan ini. Sebagai contoh; tamrin baytulmuslim khas kepada muslimat. Dalam tamrin tersebut para muslimat ahli jemaah kampus akan didedahkan dengan kuliyah-kuliyah dasar dan modul-modul yang bersesuaian ke arah membentuk muslimat :

i) memahami tugas sebagai seorang isteri disamping suami yang seorang daei dan ahli gerakan Islam.

ii) menjadi isteri yang taat pada suami dan pada masa yang sama dapat bersama-sama jemaah Islam.

iii) melatih dan memberi penerapan kepada muslimat kampus supaya memiliki ciri-ciri keibuan.

iv) memberi perangkaan secara kasar kepada muslimat tentang peringkat-peringkat penjagaan, pendidikan dan tarbiyah kepada anak-anak kelak.

v) memberi serba sedikit permasalah biasa dalam sesebuah rumahtangga dan cara penyelesaiannya seperti

a) Hubungan dengan suami dan ibu bapa mertua
b) hubungan dengan ipar duai serta keluar besar suami
c) Hubungan dengan jiran tetangga
d) hubungan dalam komuniti dan masyarakat
vi) sedikit sebanyak kebolehan memasak, mengemas, dan seumpamanya.


Semua perkara di atas perlu difahami dan difokus ke arah membentuk individu muslimah yang berketerampilan dan mampu mewijudkan sebuah rumahtangga yang boleh menjadi contoh selain melahirkan generasi pelapis yang berupaya menyambung perjuangan Islam.

Muslimat kampus perlu dilatih ke arah menjadi isteri yang cerdk dan solehah untuk suaminya kelak. Kecerdikan adalah anugerah Allah. Dan Anugerah Allah ini bleh juga diperoleh dengan diusaha dan dilatih.

Tamrin-tamrin yang biasanya dijalankan dikampus lebih tertumpu kepada tamrin pengkaderan dan kepimpinan serta siyasah semata-mata. Tamrin ke arah pembentukan Baytulmuslim sangat kurang dan mungkin tiada langsung, padahal Muslimin dan muslimat gerakan Islam bukanlah akan menghuni kampus selama-lamanya. Semuanya akan keluar dan terjun ke medan. Semuanya akan melalui alam berumahtangga. Statistik kasar menunjukkan tidak kurang ahli jemaah kampus yang dahulunya aktif di kampus, menjadi lesu setelah keluar ke alam realiti masyarakat luar adalah disebabkan pengurusan rumahtangga.

Tidak perlu dihurai bagaiamana rumahtangga boleh menjadi salah satu perkara yang melesukan gerak kerja jemaah diluar. Ahli-ahli jemaah Islam kampus perlu memahaminya.


2) Sifat dan ciri-ciri Muslimat adalah salah satu faktor kejayaan sistem Baytulmuslim.

Seperti dalam posting sebelum ini, banyak faktor yang menjadikan unit baytulmuslim setiap kampus lesu dan mendapat sambutan yang dingin. Mungkin ahli2 hanya 'galak' ketika mula mengenali UBM, tetapi menjadi hambar lama kelamaannya, terutama bagi senior-senior yang sudah grad. Mereka yang masih tidak dipilih dalam sistem UBM mula pudar keyakinan kepada sistem UBM tersebut.

Masalah tidak berminat, tiada pilihan, tidak dipilih, dan sebagainya adalah antara masalah yang menyebabkan sistem baytulmuslim tidak berjalan dengan lancar. Jodoh adalah ketentuan Allah, kita akui. Akan tetapi kita juga perlu berusaha dan berikhtiar.

Selain kefahaman mengenai kepentingan UBM dan perlaksanaannya, para ahli jemaah perlu juga memiliki ciri-ciri yang membantu ke arah perjalanan UBM. Menyediakan diri dengan ciri-ciri untuk menjadi suami/isteri yang baik adalah dituntut.


a) Sifat keibuan

Sebagai contoh, para muslimat seharusnya menyediakan diri dengan sifat keibuan yang tinggi. Bagi muslimin yang berpandangan jauh dan matang, mereka akan cuba memilih muslimah yang sedemikian sebagai suri hidupnya, yang akan menjadi ibu kepada anak-anaknya, ipar kepada adik beradiknya serta menantu kepada kedua ibubapanya. Lebih-lebih lagi jika muslimin itu anak sulung dalam keluarganya, maka muslimah pilihannya sudah tentu perlu memiliki ciri keibuan yang bersesuaian yang dapat diterima ibubapanya, yg akan menjadi kakak kepada adik-adiknya dan sebagainya.

Jika muslimat bersikap keanak-anakan, mungkin sukar untuk diterima lelaki yang berfikir ke arah itu. Kebiasaanya begitu. Sikap orang lelaki, walaupun pada mulanya mereka suka kepada sikap kenak-anakan, manja seseorang wanita, akan tetapi jika mereka sampai suatu tahap kematangan, mereka akan menyampah dengan gelagat wanita yg terlalu manja dan keanak-anakan sedemikan. Sifat manja perlu ada, tetapi tidak boleh berlebihan sehingga menutup sifat keibuan dan kematangan seseorang muslimah.

b) Tarbiyah kecantikan

Kecantikan dan kejelitaan seseorang muslimah adalah antara faktor utama pilihan muslimin sekalipun mereka mengetahui bahawa rasulullah menyuruh mereka mengutamakan pilihan yang memiliki kekuatan agama. Itu sifat umum lelaki. Maka para muslimat jangan sekali-kali mengabaikan sifat sunnah yang Allah kurniakan kepada lelaki. Muslimat perlu juga menyediakan diri ke arah lebih cantik, kemas dan terurus yang tidak berlebihan sehingga tabarruj. Tarbiyah kecantikan juga perlu digarap kepada muslimat disamping tarbiyah-tarbiyah gerakan.

Walau sehebat mana muslimat dalam gerakerja, sukar untuk muslimin memilihnya sebagai pasangan hidup jika muslimat itu tidak cakna kepada kecantikan diri, kekemasan dan pengurusan diri. Fitrah lelaki mahu melihat wanita yang cantik dan kemas. Dengan itu, cubalah hindari diri daripada bersikap selekeh dan tidak terurus.

c) Sifat lemah-lembut

Antara perkara pantang bagi seseorang lelaki adalah wanita yang bersikap kasar kepadanya. Muslimah harus berjaga-jaga terutama bagi yang memiliki sifat lantang bersuara. berhati-hatilah dalam muamalah dengan muslimin dalam apa jua gerak kerja. Samada senior atau junior. Muslimin tidak hanya menilai seseorang muslimah itu bersikap lemah lembut kepadanya, malah mereka juga menilai sikap muslimat itu terhadap rakan-rakan muslimin yang lain.

Jika tidak berpuas hati dengan gerak kerja atau sikap muslimin, muslimat sepatutnya menegur dengan lemah lembut, kerana hati lelaki mudah cair dengan kelembutan wanita. Berbeza jika muslimat berkasar, mereka akan bertindak balas jika mampu, dan memberontak senyap jika mereka dalam keadaan pasif. Awas, muslimin lain juga memerhatikan anda, muslimat. Bersikaplah dengan sifat kewanitaan.

d) Keistimewaan tambahan atau soft skill

Muslimat perlu juga memiliki soft skill yang lain sebagai bonus di mata muslimin.Contohnya skill memasak, menjahit dan seumpamanya. Jika belum ada apa-apa basic, mulakan sekarang.


Selain semua ciri-ciri di atas, muslimah harus berani menawar diri dalam sistem UBM ni, kerana ada sebilangan muslimin malu-malu untuk propose diri. Tidak salah jika muslimat yang besuara dahulu. Jika ditolak, usahlah kecewa kerana mereka menolak bukanlah kerana mereka tidak sukakan anda, tetapi mungkin mereka belum cukup matang untuk menerima anda, atau masih belum bersedia, atau juga mahu menguji anda. Anda tentu sedikit sebanyak perlu memahami setiap muslimin dalam jemaah anda supaya anda tahu cara menawar diri menjadi suri hidup mereka. Walaupun ada muslimin yg sedikit ego atau malu untuk memilih anda, mungkin dia akan 'angau' semalaman jika mengetahui anda memilihnya melalui UBM.

Semua pernyataan di atas adalah hasil sembang-sembang ana dengan sepupu ana yang dirasakan perlu ana kongsi di sini. Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dikongsi. Darihal muslimin pula jika ada masa nanti ana akan kupas. Setakat ini dahulu untuk posting kali ini. 
Sesiapa yang rasa penambahan, boleh komen. janganlaa segan-segan untuk komen yaa....

p/s: posting ini bukan untuk menggalakkan penyakit angau, ataupun gejala couple, atau pun apa jua perkara yang melanggar batas syarak. lakukanlah sesuatu perkara kerana Allah... InsyaAllah, ada keberkatan.

Sunday, October 5, 2008

Susu ibu - melahirkan individu yang mengubah dunia!

Penyusuan bayi dengan susu ibu sering diperkatakan oleh pengamal-pengamal perubatan dan kesihatan bayi. Hakikatnya susu ibu sangat penting untuk perkembangan tubuh badan dan minda bayi. Dalam Islam, budaya menyusu dengan susu ibu sangat digalakkan, malah sehingga bayi berumur 2 tahun masih digalakkan menyusu dengan susu ibu. Dan begitu juga dengan konsep ibu susuan juga adalah galakan supaya menyusu bayi dengan susu badan ibu.

Apa khasiat menyusu dengan susu Ibu?

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.[Rujukan]

Susu ibu yang dijadikan Allah mempunyai pelbagai khasiat. Di sini diletakkan serba sedikit khasiat susu ibu, serta kelebihannya.

1. Penyusuan secara eksklusif bagi 6 bulan pertama hayat bayi adalah mencukupi untuk menyokong tumbesaran dan kesihatan bayi secara optimum. Susu ibu menyediakan perlindungan berterusan terhadap cirit-birit dan masalah pernafasan bayi.

2. Penyusuan badan juga membantu dari segi nutrisi, imunisasi, psikologi, dan ekonomi.

3. Susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula. Susu lembu mengandungi dua kali protein berbanding susu ibu. Oleh itu, bayi yang minum susu formula mendapat protein yang berlebihan. Najis bayi yang minum susu formula adalah lebih keras disebabkan mereka tidak mampu menyerap protein berlebihan tersebut. Bayi yang minum susu ibu pula menyerap 100% protein yang terdapat di dalam susu ibu. Najis bayi yang menyusu badan juga tidak berbau.

4. Ibu yang tidak menyusu badan mempunyai risiko kanser payudara dan rahim yang lebih tinggi berbanding ibu yang menyusu badan.

5. Penyusuan badan dapat membantu mengecutkan rahim. Rahim ibu yang tidak pernah menyusu badan tidak akan dapat kecut kembali seperti sebelum mengandung. Menyusu badan juga membantu ibu mendapatkan kembali bentuk badan seperti sebelum mengandung dengan lebih cepat. (Ini adalah pengalaman saya sendiri - berat badan saya berkurangan berbanding sebelum mengandung anak pertama!). Ini adalah kerana penyusuan badan memerlukan 500 kalori sehari.

6. Bayi perempuan yang minum susu formula mempunyai risiko kanser payudara yang lebih tinggi - erk, saya dulu minum formula. maknanya risiko saya untuk mendapat kanser payudara lebih tinggi! memang patut pun saya menyusu badan! ini yang menambahkan lagi semangat nak menyusu badan!

7. Susu ibu meningkatkan pertumbuhan otak dan IQ anak.

8. Susu ibu sentiasa tersedia untuk si anak, serta berada dalam ‘pakej’ yang lebih cantik - thehehehe

9. Susu ibu mengandungi imuniti terhadap pelbagai penyakit dan membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi. Bayi yang menyusu badan jarang sakit kerana si ibu akan memindahkan antibodinya kepada bayi melalui susu tersebut. - semasa anak pertama saya kena chicken pox, anak kedua saya tidak berjangkit walaupun si abang selalu berdekatan dengan si adik. ini adalah kerana saya telah pun mengalami chicken pox semasa kecil, dan saya telah transfer antibodi saya terhadap chicken pox kepada anak kedua saya. - Bayi yang menyusu badan juga terlindung (bukan sepenuhnya) dari penyakit pneumonia, bronkitis, ear infections dan macam-macam lagi.

10. Penyusuan badan dapat membantu menyokong keperluan emosi anak serta mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu.

11. Susu ibu mempunyai nutrisi lengkap untuk bayi. Susu ibu adalah custom-made mengikut keperluan bayi tersebut. Ianya mengandungi peratusan lemak, kabohidrat dan protein yang bersesuaian untuk peringkat umur bayi. Tiada susu formula yang dihasilkan mampu memberikan nutrisi yang betul-betul bersesuaian dengan keperluan tubuh bayi. Susu ibu juga sentiasa berada dalam suhu yang bersesuaian dengan keperluan bayi.

12. Susu ibu yang melahirkan anak pra-matang adalah khusus untuk bayi tersebut. Tidak ada susu formula yang dapat menghasilkan susu begini.

13. Susu formula meningkatkan risiko penyakit diabetes. Susu ibu pula dapat mengurangkan risiko diabetes Type 2.

14. Bayi yang menyusu badan membantu mengurangkan keperluan insulin ibu yang berpenyakit diabetes.

15. Bayi yang minum susu formula lebih mudah terdedah kepada pelbagai alahan - inilah yang terjadi kepada anak sulung saya :(

16. Susu ibu mengurangkan risiko athma.

17. Susu formula mungkin meningkatkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome)

18. Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat ‘childhood cancer’. Studi menunjukkan bayi yang minum susu ibu untuk sekurang-kurangnya sebulan mepunyai 21% peluang yang lebih rendah untuk mendapat leukimia, dan 30% untuk bayi yang menyusu badan selama 6 bulan.

19. Penyusuan badan melindungi bayi daripada beberapa masalah penglihatan.

20. Bayi yang minum susu formula lebih berisiko untuk obes - saya lah tu. Susu ibu pula mengurangkan risiko mendapat kolestrol tinggi.

21. Penyusuan badan = kurang EL atau MC untuk ibubapa. Memandangkan bayi yang menyusu badan jarang sakit, atau jika sakit pun cepat sembuh, maka ibu atau bapa tidak perlu ambil cuti lama untuk jaga anak.

22. Penyusuan badan sebagai kaedah merancang keluarga secara semulajadi. Kebanyakan wanita yang menyusu badan tidak datang haid selama 6 bulan selepas bersalin. Penyusuan waktu malam menggalakkan lagi tempoh ‘periodlessness’. Tetapi bukanlah bermakna ibu yang menyusu badan tidak boleh mengandung langsung selama tempoh penyusuan eksklusif. Semuanya takdir Allah - kalau sudah rezeki, Insyaallah boleh mengandung juga.

23. Penyusuan badan lebih mudah berbanding susu formula. Tidak perlu membancuh susu, hanya selak baju dan tawarkan susu kepada bayi. Tidak perlu berbelanja untuk susu formula. Kerana susu ibu adalah percuma! Ianya hadiah dan anugerah dari Allah untuk hambaNya.

24. Susu formula sangat mahal. Mungkin ada yang bertanya, pam juga mahal kan? Tetapi jika dilihat secara jangka panjang, pam yang dibeli adalah untuk tempoh selama 2 tahun. Katakan satu pam berharga lebih kurang RM500. Jika RM500 dibahagikan dengan 24 bulan = RM20.83! Cukupkah RM20.83 untuk stok susu formula selama sebulan?? Itu pun jika untuk satu anak sahaja. Bagaimana pula jika pam tersebut turut digunakan untuk anak kedua, ketiga dan seterusnya? Bukankah lebih murah?

25. Susu ibu bertindak sebagai ‘ubat penenang’ kepada bayi dan ibu. Bayi biasanya lebih tenang selepas minum susu ibu. Ibu juga merasa lebih tenang selepas menyusukan atau selepas mengepam. Ianya mengurangkan tekanan darah. Susu ibu juga dapat mengurangkan rasa sakit pada bayi. Jika bawa bayi anda untuk pengambilan vaksin, adalah elok untuk segera menyusukannya selepas dicucuk. Ini dapat mengurangkan rasa sakit bayi anda serta meningkatkan keberkesanan vaksin tersebut dalam tubuh bayi.

26. Susu ibu lebih sedap berbanding susu formula. Susu ibu rasanya lebih manis sedangkan susu formula rasanya lebih payau dan pekat. Betul! Saya sendiri pernah rasa susu saya (nak pastikan basi atau tidak) dan saya terkejut sebab susu saya rasanya manis. Sedangkan susu formula anak sulung saya baunya saja sudah meloyakan.

27. Susu ibu yang segar (fresh breast milk) tidak mengandungi bakteria, malahan susu ibu sendiri adalah anti-bakteria.

28. Penyusuan badan membantu pembentukan rahang dan gigi. Penyusuan adalah baik untuk pembentukan gigi dan rahang bayi kerana bayi perlu menggunakan 60 kali lebih tenaga semasa menyusu. Perlakuan ketika menghisap susu akan membantu pembentukan rahang yang sempurna dan gigi yang tersusun. Semakin lama tempoh penyusuan, semakin berkurangan masalah pergigian = kos berkaitan dengan masalah pergigian dapat dikurangkan/dielakkan. Juga membantu bayi untuk cepat bercakap.

29. Penyusuan badan melindungi ibu dari anemia kerana kebanyakan ibu menyusu tidak datang haid selama 6 bulan.

30. Bayi yang menyusu badan biasanya mempunyai kulit yang lebih cantik. [rujukan]


Bagimana penyusuan ibu boleh membentuk individu yang hebat dan mampu mengubah dunia?

Contoh ulung perkara ini adalah Rasulullah S.A.W. Bagaimana Allah menyediakan Nabi terulung ini dengan tubuh badan yang sihat, cergas, perkasa, kuat, bersemangat, akal yang cerdas, pintar, cerdik, bijaksana, hormon yang stabil (mampu mengawal emosi) dan sebagainya. Selain daripada tarbiyah dan didikan ruhiyyah dari Allah, persediaan fizikal juga diutamakan oleh Allah bermula dari ketika Nabi masih kecil.

Lihat bagaimana Nabi disusukan kali pertama oleh ibunya, Aminah. Kemudian Suwaibah menjadi ibu susuan pertama nabi. Kemudian barulah Halimatus Saadiah menyusukan Nabi. Tiga susu daripada tiga individu yang berbeza ini menguatkan potensi Rasulullah yang bakal menjadi pemimpin umat, Nabi Akhir zaman.

Daripada sedikit kelebihan penyusuan ibu di atas, kita dapat memahami, Nabi memiliki sekurang-kurangnya tiga jenis antibodi yang berbeza berpunca daripada tiga individu susuan yang berbeza. Hal ini memberi kelebihan imunisasi kepada tubuh fizikal Nabi dan perkembangan minda yang sangat hebat. Lihatlah betapa nabi sangat Fatanah. Sangat bijaksana dalam menangani sebarang isu yang timbul. Sangat pintar dalam membuat percaturan. Sangat alim dalam ilmu-ilmu yang diajar oleh Allah kepada baginda. Itulah kelebihan susu ibu kepada Nabi, selain daripada faktor-faktor tarbiyah yang lain.


Susuan ibu dalam Baytulmuslim, ke ke arah melahirkan individu hebat.

Adalah perlu kita sebagai hali gerakan dakwah Islamiyah, memahami konsep penyusuan ibu, bukan sahaja penting untuk tumbesaran fizikal dan mental bayi dengan sempurna, malah kita perlu berpandangan lebih jauh dari itu. Penyusuan ibu akan melahirkan individu yang cergas dan cerdas, seterusnya disusuli dengan tarbiyah yang baik dalam Baytulmuslim yang dibina, akan melahirkan pejuang yang hebat, pemikir yang agung dan pemimpin yang bijaksana. Individu seperti para sahabat Nabi S.A.W, para tabiin, individu seperti Umar Abdul Aziz, Muhammad al-fatih, Salahuddin el-Ayubi, Hassan al-Banna dan sebagainya sangat kita harapkan pada masa ini. Selain tarbiyah, para ahli juga sepatutnya memikirkan pembentukan generasi mata-rantai penyambung dakwah dan gerakan Islam pada masa depan.

Seeloknya seorang ibu dalam Baytulmuslim akan terus menyusu anak sehingga berumur dua tahun. Jika didapati penjanaan susu badannya tidak memuaskan, maka eloklah menyusu menggunakan ibu susuan. Konsep ibu susuan ini amat jarang dalam masyarakat kita, berbanding masyarakat Arab. Padahal, menyusu dengan banyak ibu susuan adalah sangat digalakkan demi melihat lahirnya seorang individu yang cergas dan cerdas bagi memimpin gerakan Islam masa depan.


Perihal Penyusuan dan anak susuan.

Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan

Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:

Maksudnya: "Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy."

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy)."

Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu."

‘Urwah berkata: "Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."

(Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu:

i. Perempuan yang menyusukan

ii. Suami ibu susuan

iii. Ibu bapa kepada ibu susuan

iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan

v. Adik beradik kepada ibu susuan

vi. Adik beradik kepada bapa susuan

vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan

viii. Anak-anak kepada ibu susuan

ix. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.

Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)

i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar

Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."

(Surah Al-Baqarah: 233)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."

(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."

(Hadis riwayat Tirmidzi)

ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya

Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.

Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.

iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur

Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.

Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.

Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5) [rujukan]


Monday, September 22, 2008

Muslimah Mukminah Yang Sejati


 Seringkali kita mendengarkan tentang kisah-kisah srikandi Islam yang gagah berani seperti Siti Fatimah, Khadijah r.a., Khaulah Al-Azwar, Nusaibah serta ramai lagi muslimah-muslimah tauladan. Ramai yang mengatakan bahawa tidak mungkin kita akan mencapai tahap srikandi-srikandi mulia tersebut. Namun sedarkah kita, penilaian terhadap perjuangan seseorang itu hanyalah Allah s.w.t. yang berkuasa menentukan.

Keikhlasan dan kesediaan kita untuk menyerahkan diri sepenuhnya pada jalan perjuangan Islam ini adalah tunjang utama untuk menjadi mujahidah sejati. Namun syarat yang paling utama ialah keutuhan aqidah yang akan mendorong kita untuk thabat dalam membantu agama Allah s.w.t.

Ingatlah, dahulu kaum wanita menjadi bahan hinaan kaum-kaum jahiliyah terdahulu bahkan dianggap lebih hina dari binatang. Namun, cahaya Islam merubah segalanya. Kaum wanita diangkat martabatnya dan diberi hak yang sewajarnya. Islam memuliakan wanita sehingga terdapat surah An-Nisa’ yang bermakna ‘wanita-wanita’ yang banyak menyentuh tentang hal ehwal wanita. Di sini, saya ingin menyentuh beberapa skop muslimah sebagai pejuang agama secara ringkas.

Berjuang Sebagai Puteri

Jika menyentuh tentang perkara ini, pasti kita tidak lari dari memikirkan tentang puteri-puteri Rasulullah seperti Zainab, Ruqaiyyah, Ummu Kaltsum dan Fatimah. Namun, sejarah lebih ‘menghighlightkan’ Fatimah dari segi seorang anak kerana rapatnya beliau dengan Rasulullah. Fatimah lah yang membersihkan belakang Rasulullah apabila diletakkan najis oleh kaum musyrikin bahkan beliaulah yang memangku baginda Rasul di saat menjelang kewafatan baginda. Bagaimana pula dengan kita?

Secara umumnya, wajib ke atas anak itu membantu kedua ibu-bapanya serta berusaha tidak membebankan mereka dari segala segi. Jika sahabat-sahabat memiliki bapa atau ibu atau kedua-duanya yang beriltizam sepenuhnya dengan jamaah, maka hendaklah memahami mereka terutama pada saat-saat kesulitan seperti kesuntukan waktu atau harta. Bahkan, perlu bersiap-sedia menghadapi kemungkinan yang lebih dari itu kerana jalan perjuangan itu penuh mehnah dan tribulasi.

Bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang neutral atau pun menentang, hendaklah berusaha memahamkan mereka tentang Islam secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan mereka akan memahami kita jika tidak menjaga adab dan tanggungjawab sebagai anak sebagaimana sepatutnya. Tidak perlulah diceritakan tentang penglibatan kita dalam jamaah kerana mereka pastinya akan bimbang lantas melarang kita menyertai perjuangan ini lantaran ketidakfahaman. Tetapi cukuplah kita berusaha menjadi anak yang soleh dan tidak menyakitkan hati mereka walaupun pemikiran dan pemahaman adalah bertentangan. Ingat, sehebat mana seorang anak itu, redha ibu bapa lah yang akan memandu kita kepada redha Allah.

Berjuang Sebagai Isteri

Walaupun kalian belum berkahwin, tetapi hendaklah mengambil kisah akan hal ini kerana ia adalah masa depan dunia dan akhirat. Pertamanya amatlah dituntut kepada para mujahidah memilih para mujahid yang beriltizam dengan perjuangan Islam. Walaupun kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, namun ciri-ciri itu sudah dapat dilihat pada usia seorang pemuda. Perkara ini penting bagi melahirkan baitul muslim yang akan melahirkan masyarakat muslim yang akan mendokong ke arah tertegaknya Islam di bumi ini.

Hendaklah kalian menjadi sayap kiri perjuangan suami dan memahami bahawa perjuangan ini menuntut pengorbanan dan pastinya tidak dimanjai dengan harta dunia. Bersiap-sedialah untuk meletakkan Islam sebagai kepentingan dan agenda utama hidup suami kalian bahkan hidup diri kalian sendiri. Ingatlah akan pengorbanan Saidatina Khadijah dalam membantu perjuangan Rasulullah dan menjadi peneman suka duka baginda sehingga tiada gantinya lagi.

Selain itu, sudah menjadi tanggungjawab kalian untuk memberi motivasi kepada para isteri mujahidin yang lain supaya mereka tidak tergugat dengan dugaan dan tidak goyah dengan harta dunia.

Berjuang Sebagi Ibu

Ini merupakan ‘stage’ terpenting kerana diibaratkan tangan ibu itu bisa menggoncang dunia. Dari rahim yang lembut itu, lahir Rasulullah s.a.w. yang tercinta. Dari rahim yang lembut itu lahir pejuang-pejuang Islam seperti Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi dan Imam Hasan Al-Banna. Juga dari rahim yang lembut tetapi utuh itu lahir para ulama’ dan tokoh-tokoh agama yang ulung seperti Imam Malik, Imam As-Syafe’i dan Imam Bukhari.

Jika menyusur sirah para nabi, kebanyakannya ibu mereka adalah terdiri daripada wanita yang solehah seperti Maryam ibu Nabi Isa, Ibu Nabi Musa, Siti Hajar ibu nabi Ismail dan ibu nabi Sulaiman. Begitu juga dengan ibu para ulama’ seperti ibu Imam Bukhari yang tidak jemu-jemu mendoakan dan menjaga anaknya yang buta sehingga menjadi celik semula seterusnya menjadi ulama’ Hadith yang ulung.

Maka di sini, dapat diambil contoh tauladan oleh para mujahidah dalam melahirkan dan mendidik generasi yang akan menjadi pewaris ulama’ dan jundullah. Sebagai ibu, hendaklah berusaha membentuk anak-anak menjadi generasi al-Quran serta menjadikan sunnah Rasul ikutan hidup mereka.

Berjuang Sebagai Ahli Harakah Islamiyah

Mutakhir ini, para muslimah telah diberi peranan penting dalam gerakan Islam sehingga ditubuhkan tanzim khas untuk muslimat seperti Dewan Muslimat dan Unit Helwi. Memandangkan AM adalah sebuah jamaah yang masih kecil, maka unit muslimat ini bukanlah sebuah unit yang dhoruriyat mahupun hajiyat untuk ditubuhkan bahkan kita tidak mempunyai kapasiti yang secukupnya untuk itu.

Muslimin dan muslimat bekerja bersama-sama saling bantu membantu dalam batas syara’ untuk gerak kerja jamaah. Bahkan, terdapat jamaah yang majoritinya adalah muslimat dan yang menggiatkannya adalah kaum hawa ini. Walaupun muslimat tidak mempunyai taklifan syara’ untuk bergiat dalam harakah Islamiyyah, namun memandangkan senario semasa kini di mana kaum Hawa lebih ramai dari kaum Adam memerlukan muslimat untuk turun bersama para muslimin.

Muslimat pada zaman Rasulullah turut turun ke medan perang untuk membantu para muslimin dari belakang seperti mengubati para tentera yang cedera. Malah terdapat para muslimat yang turut masuk ke medan tempur seperti Nusaibah dan Khaulah Al-Azwar.

Bahkan, dengan keterlibatan muslimat dalam gerak kerja Islam dapat menangkis tuduhan-tuduhan yang mengatakan Islam itu mengongkong kaum wanita. Ia juga dapat membuka mata-mata mereka dengan kehebatan wanita muslim dalam perjuangan Islam.

Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, bukanlah mudah untuk menjadi mujahidah sejati. Pelbagai rintangan yang perlu dilalui untuk bergelar mujahidah yang diiktiraf Allah. Jika Barat bangga dengan Joan of Ark, kita patut lebih berbangga lagi dengan mujahidah-mujahidah Islam seperti Sumaiyah dan Zainab Al-Ghazali.

Kepada yang masih solo, jangan dirisau akan jodohmu kerana mujahid yang sejati itu bukanlah tertarik pada rupa tetapi pada perjuanganmu fisabilillah.Rupa paras bukanlah ukuran nilai pada seorang muslimah tetapi iman dan keutuhan jiwa yang berada pada dirinya. Pernah terjadi di Iran di mana wanita-wanita Iran memilih kaum-kaum lelaki yang cedera dalam pertempuran sebagai suami. Malah kaum lelaki terdiri daripada orang-orang yang terpotong kaki dan tangannya akibat perang melawan musuh Allah. Kaum wanita itu mengiginkan lelaki yang bersih jiwanya dan telah teruji bahawa lelaki itu telah siap menyerahkan jiwa raganya untuk Allah yang mereka cintai.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang diiktiraf Allah sebagai pejuang agamaNya.