Showing posts with label Baytulmuslim. Show all posts
Showing posts with label Baytulmuslim. Show all posts

Wednesday, June 23, 2010

"Wah, banyak nya ciri-ciri bakal isteri enta?"

Tahniah kepada sahabat-sahabiyah seperjuangan yg melangsungkan perkahwinan. Tahniah juga kepada pasangan-pasangan yang bertemu jodoh melalui unit baytul muslim. Baytul Muslim berdoa agar semua pasangan berjaya membina sebuah keluarga Muslim yang akan melahirkan kader-kader yang membantu agama Allah.

Wanita yang baik, untuk lelaki yang baik. Teringat kata-kata seorang sahabat, senior ana yang memberi tips memilih pasangan sewaktu muda-muda dahulu.

"enta mahu ciri-ciri bagaimana pasangan enta nanti?"

"tentulah yang beriman, dan taat"

"itu ideal sangat akhi"

"emm... ana mahukan bakal isteri yang bla-bla-bla..." ana menyebut ciri-cirinya. ana tak boleh senaraikan di sini. Nanti terbongkar rahsia.

"Enta yakin dapat isteri begitu, enta akan bahagia?"

"kebahagian itu milik Allah, Dia akan bagi kepada sesiapa yg dikehendakiNya" ana menjawab dengan nada bergurau.

"Enta ni..." senior ana itu menepuk bahu ana.

"ciri-ciri yang enta sebutkan tu bagus... tapi enta tamak, mahukan semua ciri itu ada pada bakal isteri enta..."

kata-kata senior itu membuatkan ana ingin tahu penjelasan seterusnya.

"enta sendiri pun tak mampu miliki kesemua ciri yang enta senaraikan itu sekaligus, betul?"

ana angguk sahaja.

"ini pesan ana, pilih satu dua ciri sudah cukup. lain-lain kelemahan, entalah yg lengkapkan... kalau tunggu semua, jd anak teruna tua lah enta... haha" senior ana ketawa kecil apabila melihat ana blur-blur.

Pesanan senior itu ana sematkan dalam benak hati ana. Dan hari ini, alhamdulillah... senior ana memang benar. Tak semestinya isteri kita itu mempunyai ciri-ciri yang kita mahukan. Jika demikian, tentu kita akan bosan kerana kita sudah dapat predict tindakan-tindakannya. Variasi dalam pergaulan akan menjadi perencah kebahagiaan. Asalkan segalanya tidak melanggar syariat.

Kali ini ana mahu juga berpesan kepada adik-adik yang sedang mencari-cari, usahlah idamkan sesuatu yang ideal. Samada lelaki atau perempuan, janganlah terlalu memilih pasangan. Pesan Nabi S.A.W, pilihlah yang beragama. Sebagai pejuang Islam, pilihlah yang berfikrah Islam, harakiyyah. Itulah yang terbaik. Kecantikan akan pudar, kekayaan akan susut, keturunan bukanlah suatu tiket kemuliaan, tetapi agama lah yang akan kekal dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah ciptakan lelaki dan perempuan untuk saling kenal mengenali, dan lengkap melengkapi.

Wednesday, December 9, 2009

Tamrin Baytulmuslim untuk Muslimin dan Muslimat ( Bhg 1)

Assalamualaikum....

Posting kali ini akan lebih difokus kepada muslimat. Beberapa 'suara' mencadangkan supaya ana menulis mengenai muslimat, fokus khas ke arah membina baytulmuslimin. Pada mulanya ana agak blank, tetapi selepas bersembang dgn sepupu ana dan juga isterinya, ana dapat sedikit idea untuk berkongsi di sini. Segala kekurangan, ana mohon maaf dan harap diperbetulkan.

1) Perlunya satu fokus muslimat ke arah pembentukan Baytulmuslim


Fokus yang dimaksudkan adalah ke arah bagaimana menyediakan muslimat sebagai tonggak penting dalam sesebuah baytulmuslim. Setiap jemaah kampus seharusnya merancang aktiviti atau modul, atau tamrin atau bengkel khusus untuk tujuan ini. Sebagai contoh; tamrin baytulmuslim khas kepada muslimat. Dalam tamrin tersebut para muslimat ahli jemaah kampus akan didedahkan dengan kuliyah-kuliyah dasar dan modul-modul yang bersesuaian ke arah membentuk muslimat :

i) memahami tugas sebagai seorang isteri disamping suami yang seorang daei dan ahli gerakan Islam.

ii) menjadi isteri yang taat pada suami dan pada masa yang sama dapat bersama-sama jemaah Islam.

iii) melatih dan memberi penerapan kepada muslimat kampus supaya memiliki ciri-ciri keibuan.

iv) memberi perangkaan secara kasar kepada muslimat tentang peringkat-peringkat penjagaan, pendidikan dan tarbiyah kepada anak-anak kelak.

v) memberi serba sedikit permasalah biasa dalam sesebuah rumahtangga dan cara penyelesaiannya seperti

a) Hubungan dengan suami dan ibu bapa mertua
b) hubungan dengan ipar duai serta keluar besar suami
c) Hubungan dengan jiran tetangga
d) hubungan dalam komuniti dan masyarakat
vi) sedikit sebanyak kebolehan memasak, mengemas, dan seumpamanya.


Semua perkara di atas perlu difahami dan difokus ke arah membentuk individu muslimah yang berketerampilan dan mampu mewijudkan sebuah rumahtangga yang boleh menjadi contoh selain melahirkan generasi pelapis yang berupaya menyambung perjuangan Islam.

Muslimat kampus perlu dilatih ke arah menjadi isteri yang cerdk dan solehah untuk suaminya kelak. Kecerdikan adalah anugerah Allah. Dan Anugerah Allah ini bleh juga diperoleh dengan diusaha dan dilatih.

Tamrin-tamrin yang biasanya dijalankan dikampus lebih tertumpu kepada tamrin pengkaderan dan kepimpinan serta siyasah semata-mata. Tamrin ke arah pembentukan Baytulmuslim sangat kurang dan mungkin tiada langsung, padahal Muslimin dan muslimat gerakan Islam bukanlah akan menghuni kampus selama-lamanya. Semuanya akan keluar dan terjun ke medan. Semuanya akan melalui alam berumahtangga. Statistik kasar menunjukkan tidak kurang ahli jemaah kampus yang dahulunya aktif di kampus, menjadi lesu setelah keluar ke alam realiti masyarakat luar adalah disebabkan pengurusan rumahtangga.

Tidak perlu dihurai bagaiamana rumahtangga boleh menjadi salah satu perkara yang melesukan gerak kerja jemaah diluar. Ahli-ahli jemaah Islam kampus perlu memahaminya.


2) Sifat dan ciri-ciri Muslimat adalah salah satu faktor kejayaan sistem Baytulmuslim.

Seperti dalam posting sebelum ini, banyak faktor yang menjadikan unit baytulmuslim setiap kampus lesu dan mendapat sambutan yang dingin. Mungkin ahli2 hanya 'galak' ketika mula mengenali UBM, tetapi menjadi hambar lama kelamaannya, terutama bagi senior-senior yang sudah grad. Mereka yang masih tidak dipilih dalam sistem UBM mula pudar keyakinan kepada sistem UBM tersebut.

Masalah tidak berminat, tiada pilihan, tidak dipilih, dan sebagainya adalah antara masalah yang menyebabkan sistem baytulmuslim tidak berjalan dengan lancar. Jodoh adalah ketentuan Allah, kita akui. Akan tetapi kita juga perlu berusaha dan berikhtiar.

Selain kefahaman mengenai kepentingan UBM dan perlaksanaannya, para ahli jemaah perlu juga memiliki ciri-ciri yang membantu ke arah perjalanan UBM. Menyediakan diri dengan ciri-ciri untuk menjadi suami/isteri yang baik adalah dituntut.


a) Sifat keibuan

Sebagai contoh, para muslimat seharusnya menyediakan diri dengan sifat keibuan yang tinggi. Bagi muslimin yang berpandangan jauh dan matang, mereka akan cuba memilih muslimah yang sedemikian sebagai suri hidupnya, yang akan menjadi ibu kepada anak-anaknya, ipar kepada adik beradiknya serta menantu kepada kedua ibubapanya. Lebih-lebih lagi jika muslimin itu anak sulung dalam keluarganya, maka muslimah pilihannya sudah tentu perlu memiliki ciri keibuan yang bersesuaian yang dapat diterima ibubapanya, yg akan menjadi kakak kepada adik-adiknya dan sebagainya.

Jika muslimat bersikap keanak-anakan, mungkin sukar untuk diterima lelaki yang berfikir ke arah itu. Kebiasaanya begitu. Sikap orang lelaki, walaupun pada mulanya mereka suka kepada sikap kenak-anakan, manja seseorang wanita, akan tetapi jika mereka sampai suatu tahap kematangan, mereka akan menyampah dengan gelagat wanita yg terlalu manja dan keanak-anakan sedemikan. Sifat manja perlu ada, tetapi tidak boleh berlebihan sehingga menutup sifat keibuan dan kematangan seseorang muslimah.

b) Tarbiyah kecantikan

Kecantikan dan kejelitaan seseorang muslimah adalah antara faktor utama pilihan muslimin sekalipun mereka mengetahui bahawa rasulullah menyuruh mereka mengutamakan pilihan yang memiliki kekuatan agama. Itu sifat umum lelaki. Maka para muslimat jangan sekali-kali mengabaikan sifat sunnah yang Allah kurniakan kepada lelaki. Muslimat perlu juga menyediakan diri ke arah lebih cantik, kemas dan terurus yang tidak berlebihan sehingga tabarruj. Tarbiyah kecantikan juga perlu digarap kepada muslimat disamping tarbiyah-tarbiyah gerakan.

Walau sehebat mana muslimat dalam gerakerja, sukar untuk muslimin memilihnya sebagai pasangan hidup jika muslimat itu tidak cakna kepada kecantikan diri, kekemasan dan pengurusan diri. Fitrah lelaki mahu melihat wanita yang cantik dan kemas. Dengan itu, cubalah hindari diri daripada bersikap selekeh dan tidak terurus.

c) Sifat lemah-lembut

Antara perkara pantang bagi seseorang lelaki adalah wanita yang bersikap kasar kepadanya. Muslimah harus berjaga-jaga terutama bagi yang memiliki sifat lantang bersuara. berhati-hatilah dalam muamalah dengan muslimin dalam apa jua gerak kerja. Samada senior atau junior. Muslimin tidak hanya menilai seseorang muslimah itu bersikap lemah lembut kepadanya, malah mereka juga menilai sikap muslimat itu terhadap rakan-rakan muslimin yang lain.

Jika tidak berpuas hati dengan gerak kerja atau sikap muslimin, muslimat sepatutnya menegur dengan lemah lembut, kerana hati lelaki mudah cair dengan kelembutan wanita. Berbeza jika muslimat berkasar, mereka akan bertindak balas jika mampu, dan memberontak senyap jika mereka dalam keadaan pasif. Awas, muslimin lain juga memerhatikan anda, muslimat. Bersikaplah dengan sifat kewanitaan.

d) Keistimewaan tambahan atau soft skill

Muslimat perlu juga memiliki soft skill yang lain sebagai bonus di mata muslimin.Contohnya skill memasak, menjahit dan seumpamanya. Jika belum ada apa-apa basic, mulakan sekarang.


Selain semua ciri-ciri di atas, muslimah harus berani menawar diri dalam sistem UBM ni, kerana ada sebilangan muslimin malu-malu untuk propose diri. Tidak salah jika muslimat yang besuara dahulu. Jika ditolak, usahlah kecewa kerana mereka menolak bukanlah kerana mereka tidak sukakan anda, tetapi mungkin mereka belum cukup matang untuk menerima anda, atau masih belum bersedia, atau juga mahu menguji anda. Anda tentu sedikit sebanyak perlu memahami setiap muslimin dalam jemaah anda supaya anda tahu cara menawar diri menjadi suri hidup mereka. Walaupun ada muslimin yg sedikit ego atau malu untuk memilih anda, mungkin dia akan 'angau' semalaman jika mengetahui anda memilihnya melalui UBM.

Semua pernyataan di atas adalah hasil sembang-sembang ana dengan sepupu ana yang dirasakan perlu ana kongsi di sini. Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dikongsi. Darihal muslimin pula jika ada masa nanti ana akan kupas. Setakat ini dahulu untuk posting kali ini. 
Sesiapa yang rasa penambahan, boleh komen. janganlaa segan-segan untuk komen yaa....

p/s: posting ini bukan untuk menggalakkan penyakit angau, ataupun gejala couple, atau pun apa jua perkara yang melanggar batas syarak. lakukanlah sesuatu perkara kerana Allah... InsyaAllah, ada keberkatan.

Wednesday, December 2, 2009

Permasalah UBM di kampus... siapa boleh tolong jawab?




Soalan:

Ada di sesetengah kampus, unit baitul muslim seperti tidak berfungsi. Bagaimana cara untuk kembalikan fungsinya. ahli macam tak percaya kepada sistem sebab berlaku beberapa perkara yang saya rasa perlu ditangani:

1) terdapat ahli yang mendahului ubm
2) ahli memboikot ubm kerana diri tidak menjadi pilihan
3) ahli yang menganggap ubm ni perkara main2, ramai pula memilih calon luar jemaah
4) kecewa kerana putus ditengah jalan

itu antara masalah yg dianggap kecil, tetapi masalah ini dah jadi satu fikrah pula kpd ahli. paling tidak ramai ahli tidak yakin malah memboikot pula ubm. setiap kali program jika diselitkan mengenai ubm, ramai yg mula 'menyampah', terutama bagi senior-senior. mungkin yang baru-baru mengenali jemaah, rasa seronok mendengar kuliah ubm. tp yg senior-senior yg terbabit dah mula boikot. bagaimana pandangan ustaz?


jawapan ana:

Susah juga nak jawab soalan saudara/saudari yg bertanya. Ana tak pasti masalah ini benar2 wujud atau tidak. Mungkin hanya di kampus anta/anti, atau masalah ini dikampus-kampus yg kecil sahaja, anat tak pasti.

jika masalah ini datang dari kampus kecil, rasanya agak sukar untuk ana selesaikan. ana bukanlah yang terbaik. malah jika kampus besar sekalipun, jika kuantiti ahli jemaah kecil, tetap akan hadapi masalah serupa. masalah tidak dipilih adalah perkara biasa. masalah ahli mendahului ubm pun biasa, sebab takut calon pilihan diambil orang lain jika melalui ubm.

Masalah diri tidak menjadi pilihan muslimin/muslmat, bukanlah kesilapan ubm. tak sepatutnya ubm dipersalah dan diboikot. hati manusia siapa tahu. ahli-ahli jemaah perlu faham kepentingan mendirikan baitul muslim sesama ahli jemaah. walaupun jemaah tidak memaksa, tetapi dari segi membantu sesama ahli dalam mebentuk keluarga muslim adalah perlu difokus.

rugi rasanya jika kita sesama ahli jemaah bertahun2 aktif dalam usrah, tamrin dan sebagainya, memilih calon luar, manakala ahli jemaah yg tidak dilamar itu akhirnya tiada yg memilihnya, membuatkan dia sendiri terpaksa pula menerima orang luar jemaah. tidakkah ini sesuatu yg merugikan, terutamanya bg muslimat. bayangkan jika pemuda Umno pula yg terpaksa diterimanya sebagai suami, kerana tiada sahabat satu jemaah mahu menerimanya.

bagi muslimat pula, ana juga pernah mendengar berita ada seorang muslimah sangat menyampah dengan ubm. baginya ubm hanyalah alat untuk mengkaderkan ahli jemaah, bukan berfungsi seperti yang diwar-warkan. memang jika dilihat, hanya beberapa kerat sahaja ahli disatukan melalui ubm, manakala yg lain sendirian berhad saja. Mendengar saja keluhan muslimat itu, ana memberitahu sahabat ana dari sebuah kampus di selatan. mujurlah sahabat ana beritahu ada seorang muslimin ahli jemaah yang sedang mencari calon isteri. sahabat itu sudah 2 tahun grad. sahabat itu tiada calon ahli jemaah yg memilihnya melalui ubm, kerana perbezaan batch yg agak jauh. ahli-ahli junior tidak menganlinya sangat. jadi akhirnya muslimat itu berjaya disatukan memalui kaedah ubm.

masalah yg timbul mengani ubm jga mungkin disebabkan ahli2 hanya terikat dgn batch masing2 sahaja. misalnya, muslimin hanya nampak muslimat satu batchnya sahaja, begitu juga muslimat. bagi ana tidak menjadi masalah jika muslimin 'berkorban' dengan membiarkan senior-senior mereka memilih muslimat satu batch mereka. dan muslimin pula memilih junior-junior muslimat. perbezaan batch 1,2,3 atau 4 tahun masih boleh di ubm kan. malah bagi ana perlu digalakkan.

jika bernikah satu batch, mungkin akan bermasalah sedikit dari segi ekonomi rmahtangga. maklumlah masing2 baru lepas grad, baru cari kerja. jika pasangan suami isteri berbeza batch, mungkin si suami yg sudah lama grad lebih stabil kedudukan ekonomi. zaman sekarang adalah zaman yg mencabar dari segi ekonomi. nasihat ana, lihatlah, banyak kes cerai berai salah satu faktornya adalah ekonomi. zaman lepas nikah tidak semanis zaman galak-galak bercinta. zaman bercinta adalah ilusi dan khayalan sahaja. semua orang faham, tetapi masih melakukan kesilapan yg sama.

ingatlah, jodoh adalah ketentuan-Nya. kita hanya berusaha. jika tidak dipilih, yakin dan berdoalah supaya Allah kurnia yg lebih baik. bukan menyalahkan ubm. ubm hanyalah perantara dan pemudahcara. maaf jika jawapan ana tidak memenuhi persoalan yg ditanya. sesiapa yg bisa menjawab bolehlah berkongsi di ruang komen.

Sunday, March 22, 2009

Baytul Muslim : Masihkah menolak rahmat Allah?

Baitul Muslim masih merupakan isu yang tidak begitu diberi perhatian serius di kalangan kita. Banyak kedapatan soal pertemuan dan jodoh itu hanya dijadikan milik peribadi ataupun hanya milik ibu dan ayah saja terutama bagi pihak perempuan. Jadi, apalah ada pada sesuatu usaha untuk menyentuh hal-hal sebegini sekiranya pegangan seperti ini masih kukuh.

Masih ramai di kalangan kita yang masih tidak begitu memerhatikan saranan Rasulullah SAW agar si lelaki mengutamakan perempuan yang solehah dan si perempuan mengutamakan lelaki yang soleh dalam memilih pasangan. Barangkali kita lupa bahawa matlamat sebuah perkahwinan itu adalah untuk akhirat. Ingin mendapatkan kedamaian dalam rumahtangga, memberikan ketenangan dalam beribadat, memberi peringatan yang baik dalam melayari kehidupan, melahirkan zuriat yang soleh dan solehah dan sebagainya itu semuanya adalah untuk kepentingan dan maslahat akhirat.

Sebab itu Rasulullah SAW sangat menekankan agar kita membuat pilihan berdasarkan panduan yang Islam berikan. Kepada para lelaki Rasulullah telah memberikan panduannya sebagaimana sabdanya:

“Perempuan itu dikahwini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Untuk para wanita pula, Rasulullah telah memberikan dua syarat pilihan iaitu lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”

Bagi yang masih bujang di kalangan kita, baik lelaki mahupun perempuan, berhati-hatilah ketika kalian membuat pilihan. Kalian di kalangan doktor dan paramedik ini merasakan bahawa kalian mempunyai banyak pilihan kerana kalian berada di dalam posisi yang baik dalam pekerjaan. Ingatlah, urusan perkahwinan merupakan urusan kehidupan secara keseluruhan, malah sehingga ke akhirat, jika pada ketika ini kalian tidak menggunakan kayu ukur mengikut kayu ukur Rasulullah SAW, kalian boleh menyesal di kemudian hari.

Mungkin hari ini, dengan network yang ada, anda mampu mengumpulkan 2-3 calon sekaligus di depan mata, anda boleh kelabu mata untuk memilih 'dunia' jika iman anda tidak kuat! Mungkin kita ingat bahawa kita dah baik, tentu Allah akan menjodohkan dengan pasangan yang baik, sebab Allah ada berfirman dalam Al-Quran; "Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula..." (An-Nur: 26), namun ulasan daripada ayat ini tetap menyatakan bahawa kita tetap perlu berusaha. Sebab itu dalam sesetengah hal, menyerahkan pilihan kepada ibubapa untuk menentukan jodoh adalah tidak tepat kerana barangkali ibubapa bukan mereka yang cukup soleh dan mengambil berat saranan Rasulullah SAW.

Ada juga di kalangan kita yang salah menilai masalah sekufu. Sebagai sedikit panduan, mari kita lihat erti kufu. Para fuqaha telah berbahas panjang lebar tentang isu ini. Perkataan kufu pada asalnya bermaksud 'sama'. Dalam hal ini, banyak fuqaha berpandangan bahawa tidak harus seorang wali mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang tidak sekufu, kecualilah jika si anak itu bersetuju. Namun, kita sering melihat kufu pada gaji, pekerjaan, keturunan, ijazah dan yang seumpamanya. Maka, jika si anak dara balik dari luar negara, maka kalau boleh biarlah si teruna paling ‘koman’ pun ada ijazah dari universiti tempatan. Kalau setakat diploma, “Minta maaflah ya, anak saya belum sedia untuk dilangsungkan!”, begitulah helah yang mungkin diberikan. Hakikatnya, kufu bukan sahaja dilihat pada harta benda, malah ia juga dilihat dari segi agama, iffah, keturunan, ketaqwaan kepada Allah s.w.t, akhlak dan lain-lain.

Kufu dari segi agama: kedua-duanya sama seagama.

Kufu dari segi iffah (terpelihara dari segala amalan yang haram dalam pergaulan harian): kedua-duanya berakhlak mulia dan dari keluarga yang baik (maksudnya, mengambil berat tentang agama).

Kufu dari segi keturunan: sama sebangsa.

Kufu yang terutama adalah dari segi ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ini kerana ketaatan dan ketaqwaanlah yang akan menjamin rumahtangga bahagia di dunia dan akhirat.

Lihatlah bagaimana janji Allah yang akan menolong mereka yang mengutamakan ketakwaan dalam memilih jodoh, "Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang soleh. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberikannya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemberiannya dan Maha Mengetahui." (An-Nur: 32)

Oleh itu, apa yang diharapkan ialah, kita perlu berlapang dada sebelum menerima atau menolak seseorang untuk dijadikan teman hidup. Firman Allah :

"…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah :216). 

Solat istikharah tidak boleh diketepikan sama sekali. Ia sebagai langkah terbaik dalam membuat sebarang pilihan terutama dalam hal memilih pasangan hidup ini.

Friday, February 27, 2009

Isilah borang, istikharahlah...

Tahniah kepada sahabat-sahabiyah yang berjaya membentuk Baytul Muslim dengan berlangsungnya 4 pasangan ahli gerakan kita dalam masa sebulan ini. Mudah-mudahan kalian akan berjaya dalam perjuangan dan bahagia di dunia dan akhirat.

Kepada para pejuang, sahabat-sahabiyah, dalam dan luar kampus yang masih belum membentuk keluarga muslim, maka eloklah segera disempurnakan. Bagi yang berada dalam tanzim anak negeri dan juga tanzim dalam kampus, segeralah mengisi borang match making yang dikeluarkan oleh Unit Baytul Muslim tanzim masing-masing.

Isilah borang dengan jujur dan amanah. Janganlah kalian bermain-main dengan perkara ini kiranya kalian yakin dengan perjuangan yang kita intima' bersama. Kefahaman mengenai Baytul Muslim perlu diperjelas jika kalian belum benar-benar faham kenapa perlunya mengisi borang, kenapa perlunya jemaah mencaturi jodoh kalian dan sebagainya. Rujuk artikel-artikel Baytulmuslim sebelum ini.

Bukan jemaah mencaturi, tetapi kalian sendiri yang berusaha. Unit Baytul Muslim adalah perantara yang mengikat melalui perjanjian dan persefahaman. Selanjutnya, kalian sendiri yang mengurus pertunangan dan pernikahan. Baytul Muslim berusaha agar kalian dapat bertemu jodoh sesama ahli gerakan Islam, supaya kalian tidak mudah tercicir dari arus perjuangan.

Sahabat-sahabiyah  sekalian,
Cubalah untuk serius dalam mengisi borang match making tersebut. Kita hanya berusaha. Selalunya, pihak muslimin kurang serius dan bermain-main dalam soal mengisi borang ini. Manakala pihak muslimat pula sudah mula serius sejak memasuki tahun 2 pengajian. Jika pihak muslimin tidak serius, mungkin pihak muslimat akan bimbang tiada jodoh, dan mereka mencari jalan singkat dengan mengikat pertunangan dengan jejaka yang bukan ahli gerakan Islam.

Mungkin bagi pihak Muslimin, mereka belum cukup 'matang' untuk berfikir ke arah berumah tangga. Pihak muslimat tidak perlulah mengehadkan pemilihan calon dari muslimin sesama batch. Pihak muslimin tidak begitu risau soal berumahtangga kerana mereka masih mempunyai banyak peluang di masa hadapan. Dengan itu muslimat perlu proaktif, berhikmah dan bijak dalam perkara ini.

Wahai kaum muslimat,
Persiapkanlah diri kalian dengan ilmu agama, ilmu rumahtangga, ilmu pendidik, ilmu hubungan kekeluargaan dan naluri keibuan kerana semua ilmu ini membantu perjuangan suami kalian kelak, dan dapat mengemudi bahtera keluarga kalian ke arah keredhaan Allah. 

Wahai kaum muslimin,
Ingatlah pesan Ralulullah...

“Rahsiakan niatmu hendak meminang. Ambillah air wudhu’ dengan cara yang sebaik-baiknya, kemudian solatlah sebagaimana yang diajarkan Allah Taala kepadamu. Pohonlah puji syukur kepada-Nya dan agungkanlah Dia, lalu ucapkankanlah:“Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak dan Engkau Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib.Jika Engkau memandang pada diri si fulanah –(sebutkan nama sebenarnya)– terdapat kebajikan bagiku, bagi agamaku, bagi dunia dan akhiratku, takdirkanlah dia bagiku. Jika ada wanita lain yang Engkau pandang lebih baik bagiku takdirkanlah dia bagiku”


Thursday, February 12, 2009

"Enti Sudi Jadi Isteri Kedua Ana??"

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin. Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah. "Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah

Dengan suara tersekat-sekat. Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya. 

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…, " Fatimah mula sebak. 

"Tak. Maksud saya…" 

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar. 

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suaraFatimah semakin tinggi, setinggi egonya. Fikri diam seribu bahasa. 

Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. 

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah. 

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. 

Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agamayang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua. 

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik denganFatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah sepertilelaki lain. Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnyasibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. 

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri. Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak? Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. 

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah. 

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu. 

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas. 

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin. 

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri. 

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu. 

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum. 

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju.

Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawaNusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya. 

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. 

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu. 

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum. 

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang. 

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini. 

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta. 

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya. 

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar. Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang. 

"Perjuangan, " jawab Fikri....


SEDARLAH SEMUA… KALIAN AKAN DIMADUKAN!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG ISTERI…

TERIMALAH KENYATAAN BAHAWA ANDA AKAN DIMADUKAN, BAHKAN ANDA BUKAN
ISTERI PERTAMA YANG BAKAL DIKAHWINI TETAPI ANDA ADALAH BAKAL ISTERI
KEDUA!!!

KERANA ISTERI PERTAMA BAGI SUAMIMU IALAH PERJUANGAN ISLAM!!!
PERKAHWINAN INI TELAH LAMA DILANGSUNGKAN… KEHADIRAN DIRIMU ADALAH
UNTUK BERSAMA BERGANDING BAHU MEMPERJUANG KAN ISLAM BUKAN MENJADI BATU PENGHALANG PERJUANGAN SUAMIMU…

JANGANLAH JADIKAN DIRIMU SEBAGAI PUNCA SERTA MERENDAHKAN HARGA DIRI
MU DENGAN TERJADINYA PERCERAIAN SUAMIMU DENGAN ISTERINYA YANG
PERTAMA IAITU PERJUANGAN ISLAM!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG SUAMI…
TERIMALAH BAHAWA ANDA BUKANLAH SUAMI YANG PERTAMA YANG BAKAL
DINIKAHINYA ATAU INSAN YANG PERTAMA YANG DICINTAI DAN DISAYANGI OLEH
BAKAL ISTERIMU!!!

BAHKAN DIRIMU ADALAH INSAN YANG KEDUA YANG
DICINTAINYA….

KERANA SUAMI YANG PERTAMA BAGINYA IALAH PERJUANGAN ISLAM DAN MEMARTABATKANNYA…

DIA MENCINTAIMU KERANA DIRIMU MENCINTAI ISLAM DAN MEMPERJUANGKAN ISLAM. JIKA DIRIMU TIDAK SEDEMIKIAN… SEKELUMIT CINTA PUN TIDAK AKAN LAHIR DALAM SANUBARI ISTERIMU…

BANTULAH ISTERIMU DAN KUATKANLAH DIA UNTUK TERUSKAN PERJUANGAN…


Dipetik dari Radhi Raudhah Cafe

Saturday, January 10, 2009

Baytul-Syahidin Dr Nazar ar-Rayyan!

Palestin berdarah lagi.

Apa usaha kita?
Perspektif Baytulmuslim kali ini akan membawa pembaca mengenali tokoh Hamas, As-Syahid Dr Nizar Ar-Rayyan, yang syahid akibat serangan udara Israel baru-baru ini.

Siapa dia?

Beliau menjadi korban pertama serangan udara Israel. Tokoh Hamas, Nizar Abdul Kader Mohammad Rayyan, lahir, 6 Mac, 1959, di kem Jabaliya, Jalur Gaza. Tokoh yang memimpin sayap militer Hamas ini, memiliki latar belakang pendidikan yang sangat baik, di mana asy-syahi pernah mengeyam pendidikan di Universiti di Saudi Arabia, Jordan, dan Sudan, dan mendapatkan gelar Phd, dibidang Islamic Studies.

Setelah menyelesaikan pendidikan di sejumlah Negara Arab, Rayyan kembali ke Gaza, dan menjadi seorang da’i, dan memberikan ceramah di banyak masjid di Gaza, dan sambil masih terus memperdalam ilmunya, sampai ia mendapatkan pangkat Profesor dibidang undang-undang Islam (Islamic Law) di Universiti Islam di Gaza. Di usianya yang masih belum terlalu tua itu, Rayyan dikurniakan enam orang anak laki-laki, enam orang anak perempuan, dan dua orang cucu. Dan, tokoh gerakan Hamas ini, menikahi empat orang muslimah.

Rayyan memiliki pandangan yang sama dengan seluruh pemimpin Hamas, yang secara tegas menolak Negara Israel, kerana Negara Zionis-Israel, tak lain adalah penjajah, yang harus dihapus. Maka, Rayyan menegaskan : “Kami tidak akan pernah menerima Israel. Apa yang disebut kata : ‘Israel’ adalah tidak ada, baik sebagai sebuah fakta atau imajinasi”, tandasnya. Tokoh yang memiliki tubuh tinggi besar ini, beberapa kali ditahan pemerintah Israel dan Otoritas Palestina (PA), dan dibebaskan ketika Hamas mengambil alih control seluruh wilayah Gaza dari tangan al-Fattah, Jun, tahun 2007.

Rayyan sangat dikenal kerana pendiriannya yang keras melawan Zionis Israel. Seorang datuk dari dua cucu, yang baru berumur 50 tahun itu, pernah menjadi pendiri Parti Penyelamat Islam (The Islamic Salvation Party), ketika terbentuk Autiriti Palestin di tahun 1994. Prof.Rayyan mempunyai peranan yang sangat penting, ketika Hamas harus berunding dengan berbagasi faksi yang ada di jalur Gaza, yang akan menentukan kepemimpinan di wilayah itu.

Tokoh Hamas, yang menjadi pemimpin Briged Izzuddin al-Qassam, di wilayah kem Jabaliya ini, sangat dikenal sebagai seorang da’i yang sangat berpengaruh, dan dikenal sebagai seorang imam di masjid ‘Masjid Syuhada’.

Menurut Jerusalem Post, yang terbit 1 Januari, 2009, Sheikh Nizara Rayyan, termasuk pemimpin senior Hamas, syahid dengan seluruh keluarganya, empat isterinya dan anak-anaknya, hari Khamis, ketika pesawat tempur Israel, F.16, menjatuhkan bom diatas apartement, yang diduduki bersama keluarganya di Jabaliya. Rayyan, bukan hanya seorang yang sangat beragama (alim), tapi benar-benar seorang mujahid. Karena, Rayyan menjadi pemimpin sayap militer Hamas, iaitu Briged Izzudin al-Qassam.

Mudah-mudahan As-Syahid dicucuri nikmat bersama ahli keluarganya.

Sahabat-sahabiyah sekalian. Lihatlah bagaimana perjuangan beliau diterima Allah, sehingga Allah memuliakan dirinya dan ahli keluarganya dengan Syahid.

Beliau syahid bersama keluarga besarnya, iaitu bersama empat isteri dan sembilan dari pada dua belas anaknya yang turut syahid bersamanya.

Dari perspektif Baytul Muslim, Dr Ar-Rayyan bukan sahaja berjaya membina Baytul Muslim, bahkan beliau membina Baytul-Mujahidin - Baytul Syahidin. Allahu Akbar.

Kita bagaimana? Kepada sahabat-sahabiyah yang belum berumah tangga, rancanglah. Rancanglah pembentukan baytul muslim hingga diiktiraf Allah menjadi baytul-syahidin. InsyaAllah. Kepada gerakan-gerakan Islam dalam kampus, gerakan Islam luar kampus, gerakkanlah pembentukan Baytul Muslim dalam jemaah masing-masing. Modah-mudahan suatu hari nanti, akan muncul Salahuddin Al-Ayubi dari kalangan kita. Atau juga menjadi Dr Nizar Ar-Rayyan ke dua! 

Sunday, November 2, 2008

BAYTUL MUSLIM PENJANA GENERASI DU`AT

SIFAT BAIT MUSLIM



Menghormati fikrah (gerakan ) Islam

Memelihara adab-adab Islam dalam semua aktiviti rumah tangga

Bijak memilih bakal isteri/suami

Suami isteri menunaikan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing

Membesar dan mendidik anak-anak dengan adab dan prinsip-prinsip Islam


PEMBENTUKAN BAIT MUSLIM


Bila Perlu Berumah tangga


Tiada masa ditentukan, bergantung kepada keperluan peribadi

Rasulullah s.a.w. berumah tangga pada usia 25 tahun

Nasihat saya: jangan terikut-ikut orang lain, pastikan benar-benar keperluan diri

Berumah tangga semasa belajar terlalu banyak risikonya jika tidak bijak mengendalikannya


Persiapan Sebelum Kahwin.


Memilih bakal isteri/suami yang soleh

  • Islam telah kemukakan sifat-sifat yang diutamakan
  • perlu beri penilaian berkadar persoalan kufu’

Mengutamakan yang sama fikrah

Mengutamakan ikhwan/akhawat satu jamaah dari wanita lain

Memudahkan proses perkahwinan

  • tidak terlalu memilih
  • jangan terlalu cerewet,
  • buat penilaian dan pertimbangan yang sederhana
  • bertawakallah

Selepas Berkahwin



Awal Perkahwinan

  • Membina kasih sayang
  • Mencari persefahaman
  • Memahami hati budi hakiki pasangan
  • Insafi hakikat tidak semua insan sempurna, termasuk diri kita
  • Terima hakikat kekurangan pasangan
  • Hargai keistimewaan yang lebih banyak dari kelemahan
  • Usaha baiki yang boleh diperbaiki
  • Belajar sesuaikan diri dengan hakikat yang ada, dialah pasangan kita
  • Tingkatkan sifat pemaaf

Pertengahan Perkahwinan


Pastikan rukun kebahagiaan rumah tangga ( sakinah, mawaddah, rahmah)

Semarakkan hubungan semua aspek

Sedari pasangan kita adalah manusia, bukan batu bukan kristal

Fahami hakikat pendakwah (suami/isteri) pun manusia

  • perasaannya perasaan manusia
  • keinginannya keinginan manusia
  • permintaannya permintaan manusia
  • semua pada dirinya adalah alam manusia
  • layani dia sebagai melayan manusia biasa
  • jangan berkomunikasi dengannya sebagai manusia super atau malaikat

Period Cabaran.


  • Peringkat usia 35 – 45 peringkat cabaran rumah tangga
  • Bilangan anak telah ramai
  • Julat usia anak sulung dan bongsu mungkin jauh
  • Anak-anak perlu perhatian yang berbagai mengikut perangai dan julat usia
  • Tumpuan isteri semakin banyak terarah kepada anak-anak
  • Perhatian banyak berpindah dari suami kepada anak-anak
  • Suami mungkin terasa semacam diabaikan
  • Penjagaan diri isteri secara tabi`e mungkin berkurangan
  • Daya tarik isteri juga mungkin semakin luntur, terutama isteri yang tidak ambil peduli penjagaan diri kerana merasa selamat sebagai isteri seorang da`ie
  • Suami pula sudah mendapat kedudukan kanan di tempat kerja
  • Mungkin dikelilingi setia usaha, kerani atau pembantu tadbir yang licin dahi
  • Interaksi, komunikasi dengan staf berlaku 9 jam setiap hari
  • Keadaan di rumah dan di tempat kerja boleh jadi pemangkin kepada kewujudan pihak ketiga dalam kehidupan rumah tangga
  • Di situ bermulalah keadaan yang menggerunkan

Kalau di atas mungkin suami yang membuat onar, tetapi pengalaman kita menunjukkan isteri pun tak kurang.

Cabaran ini hanya dapat diatasi dengan keinsafan dan usaha bersama

Usaha satu pihak sahaja tidak akan membawa hasil

Isteri, walau apa pun kerjaya dan bertanya tugas mendidik dan melayan anak-anak, suami tidak sepatutnya diabaikan

  • hiasi dan peliharalah rupa diri
  • bersolek dan berhiaslah untuk suami, jadikan ia amalan diri
  • kemaskan rumah, terutama tempat tidur, ceriakan, siapkan ia dengan aroma yang merangsang

Suami, walau apa pun kedudukan di tempat kerja, adab dan tata susila Islam dalam hubungan silang jantina perlu ditaati, jangan jadi hidung belang, mata keranjang

Kalau mahu isteri sentiasa menarik, melayan, sila ringankan beban isteri

  • bantu sendiri atau sediakan orang gaji
  • sediakan peralatan untuk isteri berhias diri, pakaian, kosmetik dan wangian diri
  • suami juga perlu menghias diri, supaya nampak tampan dan ceria diri


Rumah Tangga di Usia Tua


55 dan ke atas boleh dikira usia tua

Peringkat usia rumah tangga paling stabil

Hubungan suami isteri paling intim dalam semua aspek

Tiada gangguan anak-anak lagi, malah kadangkala anak-anak dapat membantu keintiman

Kerja dakwah semacam tiada halangan lagi, selain halangan kekurangan kudrat atau futur

Namun usia ini ada juga cabarannya

  • penurunan ketara dan mendadak jumlah pendapatan keluarga,
  • perlu membuat penyesuaian perbelanjaan keluarga yang mungkin terpaksa berdikit
  • jiwa tua yang selalu mudah jauh hati, mudah tersinggung
  • kadangkala merasa semacam diabaikan, seperti tidak diperlukan lagi
  • gangguan-gangguan kesihatan yang sifatnya memang sukar diatasi
  • selalu berhiba kerana sering mengingati mati, membayangkan perpisahan abadi dengan mereka yang disayangi, terutama yang telah melewati 60 tahun

Di peringkat ini perhatian pasangan dan anak-anak amat diperlukan.



PENDIDIKAN ANAK-ANAK



Pendidikan anak berkait dengan

  • menjaga pemakanan seimbang dan halal
  • meletakkan benih ayah yang salih ke dalam rahim isteri yang salih dengan cara yang salih
  • penjagaan kesihatan isteri semasa mengandung dan
  • penjagaan kesihatan isteri dalam tempoh berpantang selepas bersalin

Proses pendidikan amali bermula dari anak dilahirkan sampai usia hujung remaja, setelah matang hanya perlu perbincangan dan nasihat.


Tempoh ini digunakan untuk membina konsep, nilai dan neraca dalam diri anak-anak melalui:

  • penerapan ajaran-ajaran Islam
  • membiasakan anak-anak mendengar Quran dan zikir
  • membina nilai-nilai maknawi kehidupan
    • baik dan buruk
    • mulia hina
    • kasih, sayang dan benci
    • sifat-sifat terpuji
    • menjauhi sifat-sifat keji
    • menghormati orang lain
    • membiasakan adab-adab Islam: pakaian, pergaulan dll
    • membiasakan ibadat-ibadat Islam
    • membentuk jati diri dan imuniti

  • membina nilai-nilai kebendaan yang sahih
    • keperluan wang
    • penggunaan wang
    • faedah sesuatu, kenapa diperlukan
    • jika mahal ada barangan gantian atau tidak
    • apa asas wang digunakan untuk membeli barangan
    • didikan berjimat cermat dan menyimpan
    • belajar mengekang kehendak naluri

  • ibu bapa menjadi qudwah dan teladan dalam semua konsep, nilai dan neraca
  • jadikan rumah dan aktiviti di dalamnya sebagai wasilah pembentukan konsep, nilai dan neraca anak (rumah itu sekolah pertama anak-anak)
    • daruriyat
    • hajiyat
    • kamaliyat
    • aulawiyat
    • thinaiyat
    • perhiasan
    • hiburan
    • tetamu dan handai taulan

  • jajarkan kehidupan rumah tangga dengan kehidupan perjuangan dakwah
  • doa ibu bapa untuk anak-anak

Semuanya berlaku dalam suasana yang tabi`e, tiada takalluf, ia menjadi amalan harian.

Konsep, nilai dan neraca akan terbentuk dalam diri anak-anak secara tidak disedari.

Konsep, nilai dan neraca ini akan membentuk jati diri dan imuniti anak-anak.


PENUTUP.


Perbincangan ini diharap dapat dijadikan panduan

Paling diharapkan ikhwah akan memilih akhawat sebagai teman hidup

Pada hakikatnya perjalanan kehidupan itu panjang, sepanjang usia kita

  • banyak cubaannya
  • banyak godaannya
  • namun, lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri

Pandai-pandailah mendayung bahtera ini hingga sampai ketepian

Sekian, mudah mudah-mudahan Allah memberi keberkatan.