Friday, February 27, 2009
Isilah borang, istikharahlah...
Monday, February 23, 2009
Pengumuman: Kursus Pra Perkahwinan Islam UTM
Thursday, February 12, 2009
"Enti Sudi Jadi Isteri Kedua Ana??"
Saturday, January 10, 2009
Baytul-Syahidin Dr Nazar ar-Rayyan!
Setelah menyelesaikan pendidikan di sejumlah Negara Arab, Rayyan kembali ke Gaza, dan menjadi seorang da’i, dan memberikan ceramah di banyak masjid di Gaza, dan sambil masih terus memperdalam ilmunya, sampai ia mendapatkan pangkat Profesor dibidang undang-undang Islam (Islamic Law) di Universiti Islam di Gaza. Di usianya yang masih belum terlalu tua itu, Rayyan dikurniakan enam orang anak laki-laki, enam orang anak perempuan, dan dua orang cucu. Dan, tokoh gerakan Hamas ini, menikahi empat orang muslimah.
Rayyan sangat dikenal kerana pendiriannya yang keras melawan Zionis Israel. Seorang datuk dari dua cucu, yang baru berumur 50 tahun itu, pernah menjadi pendiri Parti Penyelamat Islam (The Islamic Salvation Party), ketika terbentuk Autiriti Palestin di tahun 1994. Prof.Rayyan mempunyai peranan yang sangat penting, ketika Hamas harus berunding dengan berbagasi faksi yang ada di jalur Gaza, yang akan menentukan kepemimpinan di wilayah itu.
Sunday, November 2, 2008
BAYTUL MUSLIM PENJANA GENERASI DU`AT
SIFAT BAIT MUSLIM
Menghormati fikrah (gerakan ) Islam
Memelihara adab-adab Islam dalam semua aktiviti rumah tangga
Bijak memilih bakal isteri/suami
Suami isteri menunaikan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing
Membesar dan mendidik anak-anak dengan adab dan prinsip-prinsip Islam
PEMBENTUKAN BAIT MUSLIM
Bila Perlu Berumah tangga
Tiada masa ditentukan, bergantung kepada keperluan peribadi
Rasulullah s.a.w. berumah tangga pada usia 25 tahun
Nasihat saya: jangan terikut-ikut orang lain, pastikan benar-benar keperluan diri
Berumah tangga semasa belajar terlalu banyak risikonya jika tidak bijak mengendalikannya
Persiapan Sebelum Kahwin.
Memilih bakal isteri/suami yang soleh
- Islam telah kemukakan sifat-sifat yang diutamakan
- perlu beri penilaian berkadar persoalan kufu’
Mengutamakan yang sama fikrah
Mengutamakan ikhwan/akhawat satu jamaah dari wanita lain
Memudahkan proses perkahwinan
- tidak terlalu memilih
- jangan terlalu cerewet,
- buat penilaian dan pertimbangan yang sederhana
- bertawakallah
Selepas Berkahwin
Awal Perkahwinan
- Membina kasih sayang
- Mencari persefahaman
- Memahami hati budi hakiki pasangan
- Insafi hakikat tidak semua insan sempurna, termasuk diri kita
- Terima hakikat kekurangan pasangan
- Hargai keistimewaan yang lebih banyak dari kelemahan
- Usaha baiki yang boleh diperbaiki
- Belajar sesuaikan diri dengan hakikat yang ada, dialah pasangan kita
- Tingkatkan sifat pemaaf
Pertengahan Perkahwinan
Pastikan rukun kebahagiaan rumah tangga ( sakinah, mawaddah, rahmah)
Semarakkan hubungan semua aspek
Sedari pasangan kita adalah manusia, bukan batu bukan kristal
Fahami hakikat pendakwah (suami/isteri) pun manusia
- perasaannya perasaan manusia
- keinginannya keinginan manusia
- permintaannya permintaan manusia
- semua pada dirinya adalah alam manusia
- layani dia sebagai melayan manusia biasa
- jangan berkomunikasi dengannya sebagai manusia super atau malaikat
Period Cabaran.
- Peringkat usia 35 – 45 peringkat cabaran rumah tangga
- Bilangan anak telah ramai
- Julat usia anak sulung dan bongsu mungkin jauh
- Anak-anak perlu perhatian yang berbagai mengikut perangai dan julat usia
- Tumpuan isteri semakin banyak terarah kepada anak-anak
- Perhatian banyak berpindah dari suami kepada anak-anak
- Suami mungkin terasa semacam diabaikan
- Penjagaan diri isteri secara tabi`e mungkin berkurangan
- Daya tarik isteri juga mungkin semakin luntur, terutama isteri yang tidak ambil peduli penjagaan diri kerana merasa selamat sebagai isteri seorang da`ie
- Suami pula sudah mendapat kedudukan kanan di tempat kerja
- Mungkin dikelilingi setia usaha, kerani atau pembantu tadbir yang licin dahi
- Interaksi, komunikasi dengan staf berlaku 9 jam setiap hari
- Keadaan di rumah dan di tempat kerja boleh jadi pemangkin kepada kewujudan pihak ketiga dalam kehidupan rumah tangga
- Di situ bermulalah keadaan yang menggerunkan
Kalau di atas mungkin suami yang membuat onar, tetapi pengalaman kita menunjukkan isteri pun tak kurang.
Cabaran ini hanya dapat diatasi dengan keinsafan dan usaha bersama
Usaha satu pihak sahaja tidak akan membawa hasil
Isteri, walau apa pun kerjaya dan bertanya tugas mendidik dan melayan anak-anak, suami tidak sepatutnya diabaikan
- hiasi dan peliharalah rupa diri
- bersolek dan berhiaslah untuk suami, jadikan ia amalan diri
- kemaskan rumah, terutama tempat tidur, ceriakan, siapkan ia dengan aroma yang merangsang
Suami, walau apa pun kedudukan di tempat kerja, adab dan tata susila Islam dalam hubungan silang jantina perlu ditaati, jangan jadi hidung belang, mata keranjang
Kalau mahu isteri sentiasa menarik, melayan, sila ringankan beban isteri
- bantu sendiri atau sediakan orang gaji
- sediakan peralatan untuk isteri berhias diri, pakaian, kosmetik dan wangian diri
- suami juga perlu menghias diri, supaya nampak tampan dan ceria diri
Rumah Tangga di Usia Tua
55 dan ke atas boleh dikira usia tua
Peringkat usia rumah tangga paling stabil
Hubungan suami isteri paling intim dalam semua aspek
Tiada gangguan anak-anak lagi, malah kadangkala anak-anak dapat membantu keintiman
Kerja dakwah semacam tiada halangan lagi, selain halangan kekurangan kudrat atau futur
Namun usia ini ada juga cabarannya
- penurunan ketara dan mendadak jumlah pendapatan keluarga,
- perlu membuat penyesuaian perbelanjaan keluarga yang mungkin terpaksa berdikit
- jiwa tua yang selalu mudah jauh hati, mudah tersinggung
- kadangkala merasa semacam diabaikan, seperti tidak diperlukan lagi
- gangguan-gangguan kesihatan yang sifatnya memang sukar diatasi
- selalu berhiba kerana sering mengingati mati, membayangkan perpisahan abadi dengan mereka yang disayangi, terutama yang telah melewati 60 tahun
Di peringkat ini perhatian pasangan dan anak-anak amat diperlukan.
PENDIDIKAN ANAK-ANAK
Pendidikan anak berkait dengan
- menjaga pemakanan seimbang dan halal
- meletakkan benih ayah yang salih ke dalam rahim isteri yang salih dengan cara yang salih
- penjagaan kesihatan isteri semasa mengandung dan
- penjagaan kesihatan isteri dalam tempoh berpantang selepas bersalin
Proses pendidikan amali bermula dari anak dilahirkan sampai usia hujung remaja, setelah matang hanya perlu perbincangan dan nasihat.
Tempoh ini digunakan untuk membina konsep, nilai dan neraca dalam diri anak-anak melalui:
- penerapan ajaran-ajaran Islam
- membiasakan anak-anak mendengar Quran dan zikir
- membina nilai-nilai maknawi kehidupan
- baik dan buruk
- mulia hina
- kasih, sayang dan benci
- sifat-sifat terpuji
- menjauhi sifat-sifat keji
- menghormati orang lain
- membiasakan adab-adab Islam: pakaian, pergaulan dll
- membiasakan ibadat-ibadat Islam
- membentuk jati diri dan imuniti
- membina nilai-nilai kebendaan yang sahih
- keperluan wang
- penggunaan wang
- faedah sesuatu, kenapa diperlukan
- jika mahal ada barangan gantian atau tidak
- apa asas wang digunakan untuk membeli barangan
- didikan berjimat cermat dan menyimpan
- belajar mengekang kehendak naluri
- ibu bapa menjadi qudwah dan teladan dalam semua konsep, nilai dan neraca
- jadikan rumah dan aktiviti di dalamnya sebagai wasilah pembentukan konsep, nilai dan neraca anak (rumah itu sekolah pertama anak-anak)
- daruriyat
- hajiyat
- kamaliyat
- aulawiyat
- thinaiyat
- perhiasan
- hiburan
- tetamu dan handai taulan
- jajarkan kehidupan rumah tangga dengan kehidupan perjuangan dakwah
- doa ibu bapa untuk anak-anak
Semuanya berlaku dalam suasana yang tabi`e, tiada takalluf, ia menjadi amalan harian.
Konsep, nilai dan neraca akan terbentuk dalam diri anak-anak secara tidak disedari.
Konsep, nilai dan neraca ini akan membentuk jati diri dan imuniti anak-anak.
PENUTUP.
Perbincangan ini diharap dapat dijadikan panduan
Paling diharapkan ikhwah akan memilih akhawat sebagai teman hidup
Pada hakikatnya perjalanan kehidupan itu panjang, sepanjang usia kita
- banyak cubaannya
- banyak godaannya
- namun, lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri
Pandai-pandailah mendayung bahtera ini hingga sampai ketepian
Sekian, mudah mudah-mudahan Allah memberi keberkatan.
Sunday, October 5, 2008
Susu ibu - melahirkan individu yang mengubah dunia!
Apa khasiat menyusu dengan susu Ibu?
Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.
Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.
Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.
Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.
Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.
Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.[Rujukan]
Susu ibu yang dijadikan Allah mempunyai pelbagai khasiat. Di sini diletakkan serba sedikit khasiat susu ibu, serta kelebihannya.
1. Penyusuan secara eksklusif bagi 6 bulan pertama hayat bayi adalah mencukupi untuk menyokong tumbesaran dan kesihatan bayi secara optimum. Susu ibu menyediakan perlindungan berterusan terhadap cirit-birit dan masalah pernafasan bayi.
2. Penyusuan badan juga membantu dari segi nutrisi, imunisasi, psikologi, dan ekonomi.
3. Susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula. Susu lembu mengandungi dua kali protein berbanding susu ibu. Oleh itu, bayi yang minum susu formula mendapat protein yang berlebihan. Najis bayi yang minum susu formula adalah lebih keras disebabkan mereka tidak mampu menyerap protein berlebihan tersebut. Bayi yang minum susu ibu pula menyerap 100% protein yang terdapat di dalam susu ibu. Najis bayi yang menyusu badan juga tidak berbau.
4. Ibu yang tidak menyusu badan mempunyai risiko kanser payudara dan rahim yang lebih tinggi berbanding ibu yang menyusu badan.
5. Penyusuan badan dapat membantu mengecutkan rahim. Rahim ibu yang tidak pernah menyusu badan tidak akan dapat kecut kembali seperti sebelum mengandung. Menyusu badan juga membantu ibu mendapatkan kembali bentuk badan seperti sebelum mengandung dengan lebih cepat. (Ini adalah pengalaman saya sendiri - berat badan saya berkurangan berbanding sebelum mengandung anak pertama!). Ini adalah kerana penyusuan badan memerlukan 500 kalori sehari.
6. Bayi perempuan yang minum susu formula mempunyai risiko kanser payudara yang lebih tinggi - erk, saya dulu minum formula. maknanya risiko saya untuk mendapat kanser payudara lebih tinggi! memang patut pun saya menyusu badan! ini yang menambahkan lagi semangat nak menyusu badan!
7. Susu ibu meningkatkan pertumbuhan otak dan IQ anak.
8. Susu ibu sentiasa tersedia untuk si anak, serta berada dalam ‘pakej’ yang lebih cantik - thehehehe
9. Susu ibu mengandungi imuniti terhadap pelbagai penyakit dan membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi. Bayi yang menyusu badan jarang sakit kerana si ibu akan memindahkan antibodinya kepada bayi melalui susu tersebut. - semasa anak pertama saya kena chicken pox, anak kedua saya tidak berjangkit walaupun si abang selalu berdekatan dengan si adik. ini adalah kerana saya telah pun mengalami chicken pox semasa kecil, dan saya telah transfer antibodi saya terhadap chicken pox kepada anak kedua saya. - Bayi yang menyusu badan juga terlindung (bukan sepenuhnya) dari penyakit pneumonia, bronkitis, ear infections dan macam-macam lagi.
10. Penyusuan badan dapat membantu menyokong keperluan emosi anak serta mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu.
11. Susu ibu mempunyai nutrisi lengkap untuk bayi. Susu ibu adalah custom-made mengikut keperluan bayi tersebut. Ianya mengandungi peratusan lemak, kabohidrat dan protein yang bersesuaian untuk peringkat umur bayi. Tiada susu formula yang dihasilkan mampu memberikan nutrisi yang betul-betul bersesuaian dengan keperluan tubuh bayi. Susu ibu juga sentiasa berada dalam suhu yang bersesuaian dengan keperluan bayi.
12. Susu ibu yang melahirkan anak pra-matang adalah khusus untuk bayi tersebut. Tidak ada susu formula yang dapat menghasilkan susu begini.
13. Susu formula meningkatkan risiko penyakit diabetes. Susu ibu pula dapat mengurangkan risiko diabetes Type 2.
14. Bayi yang menyusu badan membantu mengurangkan keperluan insulin ibu yang berpenyakit diabetes.
15. Bayi yang minum susu formula lebih mudah terdedah kepada pelbagai alahan - inilah yang terjadi kepada anak sulung saya
16. Susu ibu mengurangkan risiko athma.
17. Susu formula mungkin meningkatkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome)
18. Bayi yang minum susu formula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat ‘childhood cancer’. Studi menunjukkan bayi yang minum susu ibu untuk sekurang-kurangnya sebulan mepunyai 21% peluang yang lebih rendah untuk mendapat leukimia, dan 30% untuk bayi yang menyusu badan selama 6 bulan.
19. Penyusuan badan melindungi bayi daripada beberapa masalah penglihatan.
20. Bayi yang minum susu formula lebih berisiko untuk obes - saya lah tu. Susu ibu pula mengurangkan risiko mendapat kolestrol tinggi.
21. Penyusuan badan = kurang EL atau MC untuk ibubapa. Memandangkan bayi yang menyusu badan jarang sakit, atau jika sakit pun cepat sembuh, maka ibu atau bapa tidak perlu ambil cuti lama untuk jaga anak.
22. Penyusuan badan sebagai kaedah merancang keluarga secara semulajadi. Kebanyakan wanita yang menyusu badan tidak datang haid selama 6 bulan selepas bersalin. Penyusuan waktu malam menggalakkan lagi tempoh ‘periodlessness’. Tetapi bukanlah bermakna ibu yang menyusu badan tidak boleh mengandung langsung selama tempoh penyusuan eksklusif. Semuanya takdir Allah - kalau sudah rezeki, Insyaallah boleh mengandung juga.
23. Penyusuan badan lebih mudah berbanding susu formula. Tidak perlu membancuh susu, hanya selak baju dan tawarkan susu kepada bayi. Tidak perlu berbelanja untuk susu formula. Kerana susu ibu adalah percuma! Ianya hadiah dan anugerah dari Allah untuk hambaNya.
24. Susu formula sangat mahal. Mungkin ada yang bertanya, pam juga mahal kan? Tetapi jika dilihat secara jangka panjang, pam yang dibeli adalah untuk tempoh selama 2 tahun. Katakan satu pam berharga lebih kurang RM500. Jika RM500 dibahagikan dengan 24 bulan = RM20.83! Cukupkah RM20.83 untuk stok susu formula selama sebulan?? Itu pun jika untuk satu anak sahaja. Bagaimana pula jika pam tersebut turut digunakan untuk anak kedua, ketiga dan seterusnya? Bukankah lebih murah?
25. Susu ibu bertindak sebagai ‘ubat penenang’ kepada bayi dan ibu. Bayi biasanya lebih tenang selepas minum susu ibu. Ibu juga merasa lebih tenang selepas menyusukan atau selepas mengepam. Ianya mengurangkan tekanan darah. Susu ibu juga dapat mengurangkan rasa sakit pada bayi. Jika bawa bayi anda untuk pengambilan vaksin, adalah elok untuk segera menyusukannya selepas dicucuk. Ini dapat mengurangkan rasa sakit bayi anda serta meningkatkan keberkesanan vaksin tersebut dalam tubuh bayi.
26. Susu ibu lebih sedap berbanding susu formula. Susu ibu rasanya lebih manis sedangkan susu formula rasanya lebih payau dan pekat. Betul! Saya sendiri pernah rasa susu saya (nak pastikan basi atau tidak) dan saya terkejut sebab susu saya rasanya manis. Sedangkan susu formula anak sulung saya baunya saja sudah meloyakan.
27. Susu ibu yang segar (fresh breast milk) tidak mengandungi bakteria, malahan susu ibu sendiri adalah anti-bakteria.
28. Penyusuan badan membantu pembentukan rahang dan gigi. Penyusuan adalah baik untuk pembentukan gigi dan rahang bayi kerana bayi perlu menggunakan 60 kali lebih tenaga semasa menyusu. Perlakuan ketika menghisap susu akan membantu pembentukan rahang yang sempurna dan gigi yang tersusun. Semakin lama tempoh penyusuan, semakin berkurangan masalah pergigian = kos berkaitan dengan masalah pergigian dapat dikurangkan/dielakkan. Juga membantu bayi untuk cepat bercakap.
29. Penyusuan badan melindungi ibu dari anemia kerana kebanyakan ibu menyusu tidak datang haid selama 6 bulan.
30. Bayi yang menyusu badan biasanya mempunyai kulit yang lebih cantik. [rujukan]
Bagimana penyusuan ibu boleh membentuk individu yang hebat dan mampu mengubah dunia?
Contoh ulung perkara ini adalah Rasulullah S.A.W. Bagaimana Allah menyediakan Nabi terulung ini dengan tubuh badan yang sihat, cergas, perkasa, kuat, bersemangat, akal yang cerdas, pintar, cerdik, bijaksana, hormon yang stabil (mampu mengawal emosi) dan sebagainya. Selain daripada tarbiyah dan didikan ruhiyyah dari Allah, persediaan fizikal juga diutamakan oleh Allah bermula dari ketika Nabi masih kecil.
Lihat bagaimana Nabi disusukan kali pertama oleh ibunya, Aminah. Kemudian Suwaibah menjadi ibu susuan pertama nabi. Kemudian barulah Halimatus Saadiah menyusukan Nabi. Tiga susu daripada tiga individu yang berbeza ini menguatkan potensi Rasulullah yang bakal menjadi pemimpin umat, Nabi Akhir zaman.
Daripada sedikit kelebihan penyusuan ibu di atas, kita dapat memahami, Nabi memiliki sekurang-kurangnya tiga jenis antibodi yang berbeza berpunca daripada tiga individu susuan yang berbeza. Hal ini memberi kelebihan imunisasi kepada tubuh fizikal Nabi dan perkembangan minda yang sangat hebat. Lihatlah betapa nabi sangat Fatanah. Sangat bijaksana dalam menangani sebarang isu yang timbul. Sangat pintar dalam membuat percaturan. Sangat alim dalam ilmu-ilmu yang diajar oleh Allah kepada baginda. Itulah kelebihan susu ibu kepada Nabi, selain daripada faktor-faktor tarbiyah yang lain.
Adalah perlu kita sebagai hali gerakan dakwah Islamiyah, memahami konsep penyusuan ibu, bukan sahaja penting untuk tumbesaran fizikal dan mental bayi dengan sempurna, malah kita perlu berpandangan lebih jauh dari itu. Penyusuan ibu akan melahirkan individu yang cergas dan cerdas, seterusnya disusuli dengan tarbiyah yang baik dalam Baytulmuslim yang dibina, akan melahirkan pejuang yang hebat, pemikir yang agung dan pemimpin yang bijaksana. Individu seperti para sahabat Nabi S.A.W, para tabiin, individu seperti Umar Abdul Aziz, Muhammad al-fatih, Salahuddin el-Ayubi, Hassan al-Banna dan sebagainya sangat kita harapkan pada masa ini. Selain tarbiyah, para ahli juga sepatutnya memikirkan pembentukan generasi mata-rantai penyambung dakwah dan gerakan Islam pada masa depan.
Seeloknya seorang ibu dalam Baytulmuslim akan terus menyusu anak sehingga berumur dua tahun. Jika didapati penjanaan susu badannya tidak memuaskan, maka eloklah menyusu menggunakan ibu susuan. Konsep ibu susuan ini amat jarang dalam masyarakat kita, berbanding masyarakat Arab. Padahal, menyusu dengan banyak ibu susuan adalah sangat digalakkan demi melihat lahirnya seorang individu yang cergas dan cerdas bagi memimpin gerakan Islam masa depan.
Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan
Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:
Maksudnya: "Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy."
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy)."
Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu."
‘Urwah berkata: "Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."
(Hadis riwayat Bukhari)
Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu:
i. Perempuan yang menyusukan
ii. Suami ibu susuan
iii. Ibu bapa kepada ibu susuan
iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan
v. Adik beradik kepada ibu susuan
vi. Adik beradik kepada bapa susuan
vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan
viii. Anak-anak kepada ibu susuan
ix. Anak-anak kepada bapa susuan
Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.
Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)
i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar
Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."
(Surah Al-Baqarah: 233)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."
(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."
(Hadis riwayat Tirmidzi)
ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya
Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.
Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.
iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur
Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.
Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.
Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5) [rujukan]