Monday, April 13, 2009

Cerpen: Cinta Perjuangan

Enti menangis..?" 

"Untuk apa ana menangis, bukankah enta selalu pesan, jangan menangis kerana manusia."
"Habis, mata enti berair?"

"Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair."

Aku tersenyum. Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan 'masuk habuk' yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.


"Ana tahu enti menangis.."


"Tidak…!! Tak faham-faham ke?!" Dia tiba-tiba membentak.

"Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama.."

"Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap enta tidak kecil hati. Ana takut berlaku fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…"

"Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?" "Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah.."

"Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?" Aku berfalsafah.

Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.

"Enta punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum.." Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?

........................................................................................................................................................

"Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!" Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya. "Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?" Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.



"Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?"


Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap 'hangat' pada malam ini.


"Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan perjanjian? Bezanya, perjanjian dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!"


"Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?"

"Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu."

"Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz." Dia menamatkan 'soalannya' lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkesima sendirian.


………………………………………......................................................................................


"Kau kenal dia Abdullah?" Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.

"Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!"

Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.

"Jawab soalan aku dulu.." "Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…" Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.

"Jawab soalan aku dulu.." Aku memohon untuk kali kedua.

"Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan 'kalah' dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!"

"Jawab soalan aku dulu.." Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.

"Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "

"Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan."

"Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka.." Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.


"Lagi.. negatifnya?" "Negatifnya.. banyak.." Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung, "Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu."

"Apa dia..? Negatifkah?"

"Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi."

"Gerakan militankah?"

"Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat 'hazar' yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!"

"Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?"

"Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hunungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!"


"Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?" Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah. "Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai'ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!"


…………………………………………....................................................................................


Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?


"Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?"


"Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.


"Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya."

Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.


"Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya' ana sudah mempunyai 'ikatan' di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti." Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.


"Ustaz tidak main-mainkan ana?"


"Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain."


"Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana.."


Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi 'perisik'ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.


…………………………………………........................................................................................

Sudah lima bulan aku di bumi anbiya', suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya' ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..


"Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar.." dan dia akan terus menyambung,


"Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut.." Dan biasanya aku akan 'cemburu' dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku.


Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber CafĂ© yang menjadi rumah 'kedua'ku. Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, "SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV' Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej :


"you have 1 unread message'


namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan.


"Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. 'Dia' yang kau amanahkan padaku untuk 'tengok-tengok' telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah 'dia', tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!"


Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,


"Akhi, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!" Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!



"Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera agama. Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata. yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat ruhani, sempurna hati. Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat. Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, keranaku serikandi dengan silam yang kelam. Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia.
Dan yang akan terjadi, andai tak sama kehendak hati, aku redha ketetapan Ilahi"

sumber: iluvislam

p/s : Ini cerita rekaan semata. Takde kene mengena sungguh dengan yang mati atau yang masih ada.

Sunday, March 22, 2009

Baytul Muslim : Masihkah menolak rahmat Allah?

Baitul Muslim masih merupakan isu yang tidak begitu diberi perhatian serius di kalangan kita. Banyak kedapatan soal pertemuan dan jodoh itu hanya dijadikan milik peribadi ataupun hanya milik ibu dan ayah saja terutama bagi pihak perempuan. Jadi, apalah ada pada sesuatu usaha untuk menyentuh hal-hal sebegini sekiranya pegangan seperti ini masih kukuh.

Masih ramai di kalangan kita yang masih tidak begitu memerhatikan saranan Rasulullah SAW agar si lelaki mengutamakan perempuan yang solehah dan si perempuan mengutamakan lelaki yang soleh dalam memilih pasangan. Barangkali kita lupa bahawa matlamat sebuah perkahwinan itu adalah untuk akhirat. Ingin mendapatkan kedamaian dalam rumahtangga, memberikan ketenangan dalam beribadat, memberi peringatan yang baik dalam melayari kehidupan, melahirkan zuriat yang soleh dan solehah dan sebagainya itu semuanya adalah untuk kepentingan dan maslahat akhirat.

Sebab itu Rasulullah SAW sangat menekankan agar kita membuat pilihan berdasarkan panduan yang Islam berikan. Kepada para lelaki Rasulullah telah memberikan panduannya sebagaimana sabdanya:

“Perempuan itu dikahwini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Untuk para wanita pula, Rasulullah telah memberikan dua syarat pilihan iaitu lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”

Bagi yang masih bujang di kalangan kita, baik lelaki mahupun perempuan, berhati-hatilah ketika kalian membuat pilihan. Kalian di kalangan doktor dan paramedik ini merasakan bahawa kalian mempunyai banyak pilihan kerana kalian berada di dalam posisi yang baik dalam pekerjaan. Ingatlah, urusan perkahwinan merupakan urusan kehidupan secara keseluruhan, malah sehingga ke akhirat, jika pada ketika ini kalian tidak menggunakan kayu ukur mengikut kayu ukur Rasulullah SAW, kalian boleh menyesal di kemudian hari.

Mungkin hari ini, dengan network yang ada, anda mampu mengumpulkan 2-3 calon sekaligus di depan mata, anda boleh kelabu mata untuk memilih 'dunia' jika iman anda tidak kuat! Mungkin kita ingat bahawa kita dah baik, tentu Allah akan menjodohkan dengan pasangan yang baik, sebab Allah ada berfirman dalam Al-Quran; "Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula..." (An-Nur: 26), namun ulasan daripada ayat ini tetap menyatakan bahawa kita tetap perlu berusaha. Sebab itu dalam sesetengah hal, menyerahkan pilihan kepada ibubapa untuk menentukan jodoh adalah tidak tepat kerana barangkali ibubapa bukan mereka yang cukup soleh dan mengambil berat saranan Rasulullah SAW.

Ada juga di kalangan kita yang salah menilai masalah sekufu. Sebagai sedikit panduan, mari kita lihat erti kufu. Para fuqaha telah berbahas panjang lebar tentang isu ini. Perkataan kufu pada asalnya bermaksud 'sama'. Dalam hal ini, banyak fuqaha berpandangan bahawa tidak harus seorang wali mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang tidak sekufu, kecualilah jika si anak itu bersetuju. Namun, kita sering melihat kufu pada gaji, pekerjaan, keturunan, ijazah dan yang seumpamanya. Maka, jika si anak dara balik dari luar negara, maka kalau boleh biarlah si teruna paling ‘koman’ pun ada ijazah dari universiti tempatan. Kalau setakat diploma, “Minta maaflah ya, anak saya belum sedia untuk dilangsungkan!”, begitulah helah yang mungkin diberikan. Hakikatnya, kufu bukan sahaja dilihat pada harta benda, malah ia juga dilihat dari segi agama, iffah, keturunan, ketaqwaan kepada Allah s.w.t, akhlak dan lain-lain.

Kufu dari segi agama: kedua-duanya sama seagama.

Kufu dari segi iffah (terpelihara dari segala amalan yang haram dalam pergaulan harian): kedua-duanya berakhlak mulia dan dari keluarga yang baik (maksudnya, mengambil berat tentang agama).

Kufu dari segi keturunan: sama sebangsa.

Kufu yang terutama adalah dari segi ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ini kerana ketaatan dan ketaqwaanlah yang akan menjamin rumahtangga bahagia di dunia dan akhirat.

Lihatlah bagaimana janji Allah yang akan menolong mereka yang mengutamakan ketakwaan dalam memilih jodoh, "Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang soleh. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberikannya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemberiannya dan Maha Mengetahui." (An-Nur: 32)

Oleh itu, apa yang diharapkan ialah, kita perlu berlapang dada sebelum menerima atau menolak seseorang untuk dijadikan teman hidup. Firman Allah :

"…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah :216). 

Solat istikharah tidak boleh diketepikan sama sekali. Ia sebagai langkah terbaik dalam membuat sebarang pilihan terutama dalam hal memilih pasangan hidup ini.

Friday, February 27, 2009

Isilah borang, istikharahlah...

Tahniah kepada sahabat-sahabiyah yang berjaya membentuk Baytul Muslim dengan berlangsungnya 4 pasangan ahli gerakan kita dalam masa sebulan ini. Mudah-mudahan kalian akan berjaya dalam perjuangan dan bahagia di dunia dan akhirat.

Kepada para pejuang, sahabat-sahabiyah, dalam dan luar kampus yang masih belum membentuk keluarga muslim, maka eloklah segera disempurnakan. Bagi yang berada dalam tanzim anak negeri dan juga tanzim dalam kampus, segeralah mengisi borang match making yang dikeluarkan oleh Unit Baytul Muslim tanzim masing-masing.

Isilah borang dengan jujur dan amanah. Janganlah kalian bermain-main dengan perkara ini kiranya kalian yakin dengan perjuangan yang kita intima' bersama. Kefahaman mengenai Baytul Muslim perlu diperjelas jika kalian belum benar-benar faham kenapa perlunya mengisi borang, kenapa perlunya jemaah mencaturi jodoh kalian dan sebagainya. Rujuk artikel-artikel Baytulmuslim sebelum ini.

Bukan jemaah mencaturi, tetapi kalian sendiri yang berusaha. Unit Baytul Muslim adalah perantara yang mengikat melalui perjanjian dan persefahaman. Selanjutnya, kalian sendiri yang mengurus pertunangan dan pernikahan. Baytul Muslim berusaha agar kalian dapat bertemu jodoh sesama ahli gerakan Islam, supaya kalian tidak mudah tercicir dari arus perjuangan.

Sahabat-sahabiyah  sekalian,
Cubalah untuk serius dalam mengisi borang match making tersebut. Kita hanya berusaha. Selalunya, pihak muslimin kurang serius dan bermain-main dalam soal mengisi borang ini. Manakala pihak muslimat pula sudah mula serius sejak memasuki tahun 2 pengajian. Jika pihak muslimin tidak serius, mungkin pihak muslimat akan bimbang tiada jodoh, dan mereka mencari jalan singkat dengan mengikat pertunangan dengan jejaka yang bukan ahli gerakan Islam.

Mungkin bagi pihak Muslimin, mereka belum cukup 'matang' untuk berfikir ke arah berumah tangga. Pihak muslimat tidak perlulah mengehadkan pemilihan calon dari muslimin sesama batch. Pihak muslimin tidak begitu risau soal berumahtangga kerana mereka masih mempunyai banyak peluang di masa hadapan. Dengan itu muslimat perlu proaktif, berhikmah dan bijak dalam perkara ini.

Wahai kaum muslimat,
Persiapkanlah diri kalian dengan ilmu agama, ilmu rumahtangga, ilmu pendidik, ilmu hubungan kekeluargaan dan naluri keibuan kerana semua ilmu ini membantu perjuangan suami kalian kelak, dan dapat mengemudi bahtera keluarga kalian ke arah keredhaan Allah. 

Wahai kaum muslimin,
Ingatlah pesan Ralulullah...

“Rahsiakan niatmu hendak meminang. Ambillah air wudhu’ dengan cara yang sebaik-baiknya, kemudian solatlah sebagaimana yang diajarkan Allah Taala kepadamu. Pohonlah puji syukur kepada-Nya dan agungkanlah Dia, lalu ucapkankanlah:“Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak dan Engkau Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib.Jika Engkau memandang pada diri si fulanah –(sebutkan nama sebenarnya)– terdapat kebajikan bagiku, bagi agamaku, bagi dunia dan akhiratku, takdirkanlah dia bagiku. Jika ada wanita lain yang Engkau pandang lebih baik bagiku takdirkanlah dia bagiku”


Monday, February 23, 2009

Pengumuman: Kursus Pra Perkahwinan Islam UTM

KURSUS PRA PERKAHWINAN ISLAM


28 FEB & 1 MAC 2009 (SABTU & AHAD)
0800 - 1800 (SABTU)
0800 - 1700 (AHAD)
DEWAN ASTANA KOLEJ TUANKU CANSELOR UTM
RM80.00 (PELAJAR)
RM100.00(STAF UTM)
RM120.00(LAIN-LAIN)

ANJURAN
KELAB LAMBAIAN MASYARAKAT KTC

DENGAN KERJASAMA
MJ AL USRAH MANAGEMENT &
PUSAT PEKHIDMATAN KELUARGA ISLAM RUMAH KENANGAN
JABATAN AGAMA ISLAM JOHOR

SIJIL DIBERI SELEPAS KURSUS...!!!

TERHAD KEPADA 150 ORANG PESERTA SAHAJA...

Thursday, February 12, 2009

"Enti Sudi Jadi Isteri Kedua Ana??"

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin. Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah. "Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah

Dengan suara tersekat-sekat. Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya. 

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…, " Fatimah mula sebak. 

"Tak. Maksud saya…" 

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar. 

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suaraFatimah semakin tinggi, setinggi egonya. Fikri diam seribu bahasa. 

Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. 

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah. 

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. 

Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agamayang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua. 

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik denganFatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah sepertilelaki lain. Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnyasibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. 

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri. Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak? Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. 

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah. 

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu. 

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas. 

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin. 

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri. 

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu. 

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum. 

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju.

Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawaNusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya. 

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. 

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu. 

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum. 

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang. 

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini. 

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta. 

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya. 

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar. Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang. 

"Perjuangan, " jawab Fikri....


SEDARLAH SEMUA… KALIAN AKAN DIMADUKAN!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG ISTERI…

TERIMALAH KENYATAAN BAHAWA ANDA AKAN DIMADUKAN, BAHKAN ANDA BUKAN
ISTERI PERTAMA YANG BAKAL DIKAHWINI TETAPI ANDA ADALAH BAKAL ISTERI
KEDUA!!!

KERANA ISTERI PERTAMA BAGI SUAMIMU IALAH PERJUANGAN ISLAM!!!
PERKAHWINAN INI TELAH LAMA DILANGSUNGKAN… KEHADIRAN DIRIMU ADALAH
UNTUK BERSAMA BERGANDING BAHU MEMPERJUANG KAN ISLAM BUKAN MENJADI BATU PENGHALANG PERJUANGAN SUAMIMU…

JANGANLAH JADIKAN DIRIMU SEBAGAI PUNCA SERTA MERENDAHKAN HARGA DIRI
MU DENGAN TERJADINYA PERCERAIAN SUAMIMU DENGAN ISTERINYA YANG
PERTAMA IAITU PERJUANGAN ISLAM!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG SUAMI…
TERIMALAH BAHAWA ANDA BUKANLAH SUAMI YANG PERTAMA YANG BAKAL
DINIKAHINYA ATAU INSAN YANG PERTAMA YANG DICINTAI DAN DISAYANGI OLEH
BAKAL ISTERIMU!!!

BAHKAN DIRIMU ADALAH INSAN YANG KEDUA YANG
DICINTAINYA….

KERANA SUAMI YANG PERTAMA BAGINYA IALAH PERJUANGAN ISLAM DAN MEMARTABATKANNYA…

DIA MENCINTAIMU KERANA DIRIMU MENCINTAI ISLAM DAN MEMPERJUANGKAN ISLAM. JIKA DIRIMU TIDAK SEDEMIKIAN… SEKELUMIT CINTA PUN TIDAK AKAN LAHIR DALAM SANUBARI ISTERIMU…

BANTULAH ISTERIMU DAN KUATKANLAH DIA UNTUK TERUSKAN PERJUANGAN…


Dipetik dari Radhi Raudhah Cafe

Saturday, January 10, 2009

Baytul-Syahidin Dr Nazar ar-Rayyan!

Palestin berdarah lagi.

Apa usaha kita?
Perspektif Baytulmuslim kali ini akan membawa pembaca mengenali tokoh Hamas, As-Syahid Dr Nizar Ar-Rayyan, yang syahid akibat serangan udara Israel baru-baru ini.

Siapa dia?

Beliau menjadi korban pertama serangan udara Israel. Tokoh Hamas, Nizar Abdul Kader Mohammad Rayyan, lahir, 6 Mac, 1959, di kem Jabaliya, Jalur Gaza. Tokoh yang memimpin sayap militer Hamas ini, memiliki latar belakang pendidikan yang sangat baik, di mana asy-syahi pernah mengeyam pendidikan di Universiti di Saudi Arabia, Jordan, dan Sudan, dan mendapatkan gelar Phd, dibidang Islamic Studies.

Setelah menyelesaikan pendidikan di sejumlah Negara Arab, Rayyan kembali ke Gaza, dan menjadi seorang da’i, dan memberikan ceramah di banyak masjid di Gaza, dan sambil masih terus memperdalam ilmunya, sampai ia mendapatkan pangkat Profesor dibidang undang-undang Islam (Islamic Law) di Universiti Islam di Gaza. Di usianya yang masih belum terlalu tua itu, Rayyan dikurniakan enam orang anak laki-laki, enam orang anak perempuan, dan dua orang cucu. Dan, tokoh gerakan Hamas ini, menikahi empat orang muslimah.

Rayyan memiliki pandangan yang sama dengan seluruh pemimpin Hamas, yang secara tegas menolak Negara Israel, kerana Negara Zionis-Israel, tak lain adalah penjajah, yang harus dihapus. Maka, Rayyan menegaskan : “Kami tidak akan pernah menerima Israel. Apa yang disebut kata : ‘Israel’ adalah tidak ada, baik sebagai sebuah fakta atau imajinasi”, tandasnya. Tokoh yang memiliki tubuh tinggi besar ini, beberapa kali ditahan pemerintah Israel dan Otoritas Palestina (PA), dan dibebaskan ketika Hamas mengambil alih control seluruh wilayah Gaza dari tangan al-Fattah, Jun, tahun 2007.

Rayyan sangat dikenal kerana pendiriannya yang keras melawan Zionis Israel. Seorang datuk dari dua cucu, yang baru berumur 50 tahun itu, pernah menjadi pendiri Parti Penyelamat Islam (The Islamic Salvation Party), ketika terbentuk Autiriti Palestin di tahun 1994. Prof.Rayyan mempunyai peranan yang sangat penting, ketika Hamas harus berunding dengan berbagasi faksi yang ada di jalur Gaza, yang akan menentukan kepemimpinan di wilayah itu.

Tokoh Hamas, yang menjadi pemimpin Briged Izzuddin al-Qassam, di wilayah kem Jabaliya ini, sangat dikenal sebagai seorang da’i yang sangat berpengaruh, dan dikenal sebagai seorang imam di masjid ‘Masjid Syuhada’.

Menurut Jerusalem Post, yang terbit 1 Januari, 2009, Sheikh Nizara Rayyan, termasuk pemimpin senior Hamas, syahid dengan seluruh keluarganya, empat isterinya dan anak-anaknya, hari Khamis, ketika pesawat tempur Israel, F.16, menjatuhkan bom diatas apartement, yang diduduki bersama keluarganya di Jabaliya. Rayyan, bukan hanya seorang yang sangat beragama (alim), tapi benar-benar seorang mujahid. Karena, Rayyan menjadi pemimpin sayap militer Hamas, iaitu Briged Izzudin al-Qassam.

Mudah-mudahan As-Syahid dicucuri nikmat bersama ahli keluarganya.

Sahabat-sahabiyah sekalian. Lihatlah bagaimana perjuangan beliau diterima Allah, sehingga Allah memuliakan dirinya dan ahli keluarganya dengan Syahid.

Beliau syahid bersama keluarga besarnya, iaitu bersama empat isteri dan sembilan dari pada dua belas anaknya yang turut syahid bersamanya.

Dari perspektif Baytul Muslim, Dr Ar-Rayyan bukan sahaja berjaya membina Baytul Muslim, bahkan beliau membina Baytul-Mujahidin - Baytul Syahidin. Allahu Akbar.

Kita bagaimana? Kepada sahabat-sahabiyah yang belum berumah tangga, rancanglah. Rancanglah pembentukan baytul muslim hingga diiktiraf Allah menjadi baytul-syahidin. InsyaAllah. Kepada gerakan-gerakan Islam dalam kampus, gerakan Islam luar kampus, gerakkanlah pembentukan Baytul Muslim dalam jemaah masing-masing. Modah-mudahan suatu hari nanti, akan muncul Salahuddin Al-Ayubi dari kalangan kita. Atau juga menjadi Dr Nizar Ar-Rayyan ke dua! 

Sunday, November 2, 2008

BAYTUL MUSLIM PENJANA GENERASI DU`AT

SIFAT BAIT MUSLIM



Menghormati fikrah (gerakan ) Islam

Memelihara adab-adab Islam dalam semua aktiviti rumah tangga

Bijak memilih bakal isteri/suami

Suami isteri menunaikan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing

Membesar dan mendidik anak-anak dengan adab dan prinsip-prinsip Islam


PEMBENTUKAN BAIT MUSLIM


Bila Perlu Berumah tangga


Tiada masa ditentukan, bergantung kepada keperluan peribadi

Rasulullah s.a.w. berumah tangga pada usia 25 tahun

Nasihat saya: jangan terikut-ikut orang lain, pastikan benar-benar keperluan diri

Berumah tangga semasa belajar terlalu banyak risikonya jika tidak bijak mengendalikannya


Persiapan Sebelum Kahwin.


Memilih bakal isteri/suami yang soleh

  • Islam telah kemukakan sifat-sifat yang diutamakan
  • perlu beri penilaian berkadar persoalan kufu’

Mengutamakan yang sama fikrah

Mengutamakan ikhwan/akhawat satu jamaah dari wanita lain

Memudahkan proses perkahwinan

  • tidak terlalu memilih
  • jangan terlalu cerewet,
  • buat penilaian dan pertimbangan yang sederhana
  • bertawakallah

Selepas Berkahwin



Awal Perkahwinan

  • Membina kasih sayang
  • Mencari persefahaman
  • Memahami hati budi hakiki pasangan
  • Insafi hakikat tidak semua insan sempurna, termasuk diri kita
  • Terima hakikat kekurangan pasangan
  • Hargai keistimewaan yang lebih banyak dari kelemahan
  • Usaha baiki yang boleh diperbaiki
  • Belajar sesuaikan diri dengan hakikat yang ada, dialah pasangan kita
  • Tingkatkan sifat pemaaf

Pertengahan Perkahwinan


Pastikan rukun kebahagiaan rumah tangga ( sakinah, mawaddah, rahmah)

Semarakkan hubungan semua aspek

Sedari pasangan kita adalah manusia, bukan batu bukan kristal

Fahami hakikat pendakwah (suami/isteri) pun manusia

  • perasaannya perasaan manusia
  • keinginannya keinginan manusia
  • permintaannya permintaan manusia
  • semua pada dirinya adalah alam manusia
  • layani dia sebagai melayan manusia biasa
  • jangan berkomunikasi dengannya sebagai manusia super atau malaikat

Period Cabaran.


  • Peringkat usia 35 – 45 peringkat cabaran rumah tangga
  • Bilangan anak telah ramai
  • Julat usia anak sulung dan bongsu mungkin jauh
  • Anak-anak perlu perhatian yang berbagai mengikut perangai dan julat usia
  • Tumpuan isteri semakin banyak terarah kepada anak-anak
  • Perhatian banyak berpindah dari suami kepada anak-anak
  • Suami mungkin terasa semacam diabaikan
  • Penjagaan diri isteri secara tabi`e mungkin berkurangan
  • Daya tarik isteri juga mungkin semakin luntur, terutama isteri yang tidak ambil peduli penjagaan diri kerana merasa selamat sebagai isteri seorang da`ie
  • Suami pula sudah mendapat kedudukan kanan di tempat kerja
  • Mungkin dikelilingi setia usaha, kerani atau pembantu tadbir yang licin dahi
  • Interaksi, komunikasi dengan staf berlaku 9 jam setiap hari
  • Keadaan di rumah dan di tempat kerja boleh jadi pemangkin kepada kewujudan pihak ketiga dalam kehidupan rumah tangga
  • Di situ bermulalah keadaan yang menggerunkan

Kalau di atas mungkin suami yang membuat onar, tetapi pengalaman kita menunjukkan isteri pun tak kurang.

Cabaran ini hanya dapat diatasi dengan keinsafan dan usaha bersama

Usaha satu pihak sahaja tidak akan membawa hasil

Isteri, walau apa pun kerjaya dan bertanya tugas mendidik dan melayan anak-anak, suami tidak sepatutnya diabaikan

  • hiasi dan peliharalah rupa diri
  • bersolek dan berhiaslah untuk suami, jadikan ia amalan diri
  • kemaskan rumah, terutama tempat tidur, ceriakan, siapkan ia dengan aroma yang merangsang

Suami, walau apa pun kedudukan di tempat kerja, adab dan tata susila Islam dalam hubungan silang jantina perlu ditaati, jangan jadi hidung belang, mata keranjang

Kalau mahu isteri sentiasa menarik, melayan, sila ringankan beban isteri

  • bantu sendiri atau sediakan orang gaji
  • sediakan peralatan untuk isteri berhias diri, pakaian, kosmetik dan wangian diri
  • suami juga perlu menghias diri, supaya nampak tampan dan ceria diri


Rumah Tangga di Usia Tua


55 dan ke atas boleh dikira usia tua

Peringkat usia rumah tangga paling stabil

Hubungan suami isteri paling intim dalam semua aspek

Tiada gangguan anak-anak lagi, malah kadangkala anak-anak dapat membantu keintiman

Kerja dakwah semacam tiada halangan lagi, selain halangan kekurangan kudrat atau futur

Namun usia ini ada juga cabarannya

  • penurunan ketara dan mendadak jumlah pendapatan keluarga,
  • perlu membuat penyesuaian perbelanjaan keluarga yang mungkin terpaksa berdikit
  • jiwa tua yang selalu mudah jauh hati, mudah tersinggung
  • kadangkala merasa semacam diabaikan, seperti tidak diperlukan lagi
  • gangguan-gangguan kesihatan yang sifatnya memang sukar diatasi
  • selalu berhiba kerana sering mengingati mati, membayangkan perpisahan abadi dengan mereka yang disayangi, terutama yang telah melewati 60 tahun

Di peringkat ini perhatian pasangan dan anak-anak amat diperlukan.



PENDIDIKAN ANAK-ANAK



Pendidikan anak berkait dengan

  • menjaga pemakanan seimbang dan halal
  • meletakkan benih ayah yang salih ke dalam rahim isteri yang salih dengan cara yang salih
  • penjagaan kesihatan isteri semasa mengandung dan
  • penjagaan kesihatan isteri dalam tempoh berpantang selepas bersalin

Proses pendidikan amali bermula dari anak dilahirkan sampai usia hujung remaja, setelah matang hanya perlu perbincangan dan nasihat.


Tempoh ini digunakan untuk membina konsep, nilai dan neraca dalam diri anak-anak melalui:

  • penerapan ajaran-ajaran Islam
  • membiasakan anak-anak mendengar Quran dan zikir
  • membina nilai-nilai maknawi kehidupan
    • baik dan buruk
    • mulia hina
    • kasih, sayang dan benci
    • sifat-sifat terpuji
    • menjauhi sifat-sifat keji
    • menghormati orang lain
    • membiasakan adab-adab Islam: pakaian, pergaulan dll
    • membiasakan ibadat-ibadat Islam
    • membentuk jati diri dan imuniti

  • membina nilai-nilai kebendaan yang sahih
    • keperluan wang
    • penggunaan wang
    • faedah sesuatu, kenapa diperlukan
    • jika mahal ada barangan gantian atau tidak
    • apa asas wang digunakan untuk membeli barangan
    • didikan berjimat cermat dan menyimpan
    • belajar mengekang kehendak naluri

  • ibu bapa menjadi qudwah dan teladan dalam semua konsep, nilai dan neraca
  • jadikan rumah dan aktiviti di dalamnya sebagai wasilah pembentukan konsep, nilai dan neraca anak (rumah itu sekolah pertama anak-anak)
    • daruriyat
    • hajiyat
    • kamaliyat
    • aulawiyat
    • thinaiyat
    • perhiasan
    • hiburan
    • tetamu dan handai taulan

  • jajarkan kehidupan rumah tangga dengan kehidupan perjuangan dakwah
  • doa ibu bapa untuk anak-anak

Semuanya berlaku dalam suasana yang tabi`e, tiada takalluf, ia menjadi amalan harian.

Konsep, nilai dan neraca akan terbentuk dalam diri anak-anak secara tidak disedari.

Konsep, nilai dan neraca ini akan membentuk jati diri dan imuniti anak-anak.


PENUTUP.


Perbincangan ini diharap dapat dijadikan panduan

Paling diharapkan ikhwah akan memilih akhawat sebagai teman hidup

Pada hakikatnya perjalanan kehidupan itu panjang, sepanjang usia kita

  • banyak cubaannya
  • banyak godaannya
  • namun, lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri

Pandai-pandailah mendayung bahtera ini hingga sampai ketepian

Sekian, mudah mudah-mudahan Allah memberi keberkatan.